
LELAKI ini sanggup bertahan di bawah terik mentari selama lapan jam demi menghasilkan lukisan mural bagi menzahirkan solidariti terhadap Gaza.
Usaha luar biasa ini membuktikan pelukis ini memiliki nilai kemanusiaan tinggi merentasi negara.
Ia diterjemahkan menerusi penyertaan satu pertandingan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Penyertaan itu boleh dianggap memecah rekod peribadinya kerana pengalaman kali pertama melukis mural di bawah panas matahari sejak menjadi pelukis 12 tahun lalu.
Abdullah Ehlid Al Walid Luli, 35, berkata, situasi itu juga menjadi pengalaman tidak boleh dilupakan kerana demam selama dua hari selepas pertandingan berkenaan disebabkan berada di tempat panas terlalu lama.
Menurutnya, penganjur membuat kelainan mengadakan pertandingan di tengah padang Dataran Merdeka bagi membolehkan orang ramai menyaksikan pengkarya melukis mural secara langsung.
“Saya memilih tajuk Belia Malaysia, Cinta Gaza untuk lukisan mural pada panel papan lapis berukuran 2.4 meter X 1.8 meter.
“Karya mural ini menggambarkan semangat solidariti belia Malaysia terhadap perjuangan rakyat Gaza.
“Tangan yang terangkat melambangkan doa tulus, harapan tinggi dan perlindungan sebagai simbolik terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Katanya, imej bendera Malaysia dan Palestin menegaskan ikatan ukhuwah serta sokongan tanpa sempadan.
“Manakala wajah penuh semangat mencerminkan keberanian, kesabaran dan keyakinan bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Kupu-kupu melambangkan harapan dan kebebasan yang diimpikan. Lukisan ini bukan sekadar seni, tetapi seruan untuk terus bersama mempertahankan keadilan serta kemanusiaan.
“Ia menzahirkan suara belia Malaysia yang teguh berdiri bersama Gaza, menghulur cinta, sokongan dan doa demi masa depan lebih aman,” katanya.
Jelasnya, kelebihan melukis ketika cuaca panas ialah dapat mempercepatkan proses pengeringan cat air yang digunakan sebagai medium lukisan dan kerja seni itu dapat disiapkan segera.
Katanya, tujuan utama dia menyertai pertandingan itu ialah untuk menimba pengalaman bersama pelukis mural yang lain.
“Secara tidak langsung dapat mempelajari strategi untuk menghasilkan karya dalam masa singkat.
“Ini kerana kebiasaannya saya mengambil masa satu hingga dua minggu untuk menyiapkan lukisan atas melukis atas kanvas.
“Oleh itu, berpandukan saiz panel papan lapis mural ini, saya boleh menganggarkan tempoh masa menyiapkan sesuatu tempahan lukisan mural,” katanya.
Abdullah Ehlid berkata, pertandingan berkenaan agak mencabar kerana ada peraturan yang menetapkan lukisan mural perlu disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan.
“Maka saya perlu memerah otak untuk memikirkan konsep dan elemen lukisan, pemilihan warna serta objek dengan pantas.
“Lukisan mural paling besar pernah dihasilkan ialah berukuran 1.8 meter x 180 meter di sebuah hospital di Pantai Timur,”kataya.
Katanya, cabaran lain sebagai pelukis mural ialah dari segi bayaran kerana diberikan tidak setimpal dengan keringat.
“Kepada generasi muda yang meminati seni harus terus berekspresi dalam karya mereka.
“Ini kerana seni bukan sekadar hobi semata-mata tetapi boleh menjadi peluang kerjaya yang menjana pendapatan tetap.
“Sebelum ini saya bergelar pelukis mural sepenuh masa, tetapi kini melakukan secara sambilan kerana memberi tumpuan terhadap kerjaya hakiki sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Perak,” katanya.
Sumber: Harian Metro