
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dijangka mendengar keterangan seorang ahli kimia sebagai saksi kedua dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijadual bersambung, hari ini.
Difahamkan, saksi dari Jabatan Kimia itu dipanggil bagi memberi keterangan mengenai kesahihan diari didakwa milik Allahyarham Zara Qairina yang sebelum ini diserahkan kepada polis.
Peguam mewakili ibu arwah, Mohd Sharulnizam Mohd Salleh, ketika ditemui media pada Khamis lalu berkata kehadiran saksi berkenaan dijangkakan setelah Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu selesai memberi keterangan.
Dr Jessie yang memberi keterangan selama dua hari mengenai punca kematian arwah Zara Qairina berdasarkan bedah siasat dan pemeriksaan di lokasi penemuan arwah, selesai memberi keterangan pada Khamis lalu.
Selain peguam mewakili ibu Zara Qairina, peguam seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak, Datuk Ram Singh, sebelum ini turut menyebut mengenai dokumen itu.
Beliau juga mengakui, berdasarkan pengalamannya, diari pernah digunakan dalam prosiding jenayah yang lain sebelum ini dan ia mungkin boleh memberi beberapa petunjuk mengenai kematian Zara Qairina.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memberi penerangan mengenai perkembangan siasatan kes kematian Zara Qairina di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu, ada menyebut mengenai penemuan diari pelajar Tingkatan Satu itu.
Pada sesi penerangan berkenaan, Saifuddin antara lain menyebut diari setebal 51 halaman diserahkan oleh guru kepada polis.
“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara diserahkan oleh guru kepada polis. Catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen apakah masalah yang sedang dihadapi.
“Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal satu asrama dengan dia. Ya, apakah yang berlaku pada tarikh-tarikh 14 dan 15 hari bulan itu semua polis lengkapkan dalam siasatan dan polis kemudiannya cadangkan kepada peguam negara apakah hala tuju siasatan yang akan kita bawa,” katanya.
Beberapa pegawai perubatan dipanggil beri keterangan
Sementara itu, prosiding inkues sepanjang minggu ini juga dijangka menyaksikan beberapa lagi pegawai perubatan dipanggil sebagai saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Sebelum ini, kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan seramai 68 saksi bakal dipanggil sepanjang inkues yang memakan masa selama 17 hari bermula pada 3 September hingga 30 September ini.
Saksi merangkumi pelbagai pihak, daripada pakar patologi, ahli kimia, polis, guru dan pelajar sekolah, selain pihak lain yang berkaitan, termasuk ibu dan bapa arwah Zara Qairina.
Pada Khamis ini, Mahkamah Koroner juga akan ke lokasi arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri sebelum ini bagi melihat secara dekat situasi di tempat kejadian.
Kecederaan otak serius
Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina diadakan atas permintaan ibu arwah kepada AGC melalui pasukan guaman yang mewakilinya bertujuan mencari kebenaran mengenai punca kematian anaknya.
Arwah Zara Qairina dilapor meninggal dunia akibat kecederaan otak yang teruk di HQE pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada kira-kira jam 4 pagi, sehari sebelum itu.
Mahkamah Koroner membenarkan ibu dan bapa arwah Zara Qairina, selain lima tertuduh kanak-kanak yang berdepan pertuduhan kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak, melalui peguam masing-masing sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.
Ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, diwakili peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Sementara itu, bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, diwakili peguam Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Seorang daripada tertuduh kanak-kanak pula diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Sumber: Berita Harian