Hampir 45,000 Pelajar Sekolah Dikesan Merokok

KUALA LUMPUR: Hampir 45,000 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan merokok menggunakan rokok konvensional, elektronik atau vape tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan angka itu membabitkan 44,211 pelajar sekolah menengah, manakala 230 lagi murid sekolah rendah dengan mereka dikesan terjebak gejala itu selepas menyertai Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 17,172 pelajar sekolah menengah dikenal pasti menggunakan rokok biasa, manakala 19,782 lagi rokok elektronik atau vape dengan 36,870 orang sudah menyertai intervensi berhenti merokok.

Selain itu, katanya, 55 murid sekolah rendah dikenal pasti menggunakan rokok biasa dan 138 lagi rokok elektronik atau vape dengan 201 orang sudah menyertai intervensi berhenti merokok.

“KKM komited membendung amalan merokok dan ketagihan vape dalam kalangan generasi muda melalui pelaksanaan inisiatif bersepadu, merangkumi pencegahan awal dan intervensi berhenti merokok secara berfokus.

“Perkhidmatan berhenti merokok iaitu Klinik Berhenti Merokok (KBM) turut ditawarkan di 857 klinik kesihatan di seluruh negara.

“Perkhidmatan ini disediakan bagi membantu dan memudah cara perokok berhenti merokok melalui teknik terapi modifikasi tingkah laku, terapi farmakoterapi atau gabungan kedua-duanya dalam tempoh enam bulan.

“Seramai 38,467 perokok mendaftar dalam program berhenti merokok di KBM tahun lalu, selain 8,659 klien sudah menetapkan tarikh berhenti dan 4,916 lagi berjaya berhenti merokok dengan kadar kejayaan sebanyak 56.8 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai keberkesanan program berhenti merokok dalam kalangan generasi muda, menerusi jawapan bertulis Dewan Negara.

Dzulkefly berkata, KKM turut mengoptimumkan penggunaan teknologi melalui platform JomQuit yang menyediakan rundingan berhenti merokok secara dalam talian oleh pengamal kesihatan bertauliah.

Sumber: Buletin TV3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hampir 45,000 Pelajar Sekolah Dikesan Merokok

Next Post

Inkues Zara Qairina: Tiada Kesan Lebam, Dera Pada Tubuh – Doktor

Related Posts