Proses Penyembelihan Di Rumah Sembelih Berlogo Halal Diyakini Patuh Syarak

KUALA LUMPUR: Proses penyembelihan ayam dilakukan di rumah sembelih yang mempunyai perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diyakini memenuhi syarak ditetapkannya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata operasi di setiap rumah sembelihan itu dipertanggungjawabkan ke atas penyelia dan pegawai eksekutif halal yang disyaratkan mesti terdiri daripada individu Islam.

“Keyakinan terhadap rumah sembelih bukan saja berdasarkan pemeriksaan yang dibuat pihak kami tetapi operasi penyembelihan itu dipantau penyelia, pegawai eksekutif halal yang bertanggungjawab memastikan segala urusan syarak dipenuhi.

“Jadi orang ramai tidak perlu meragui membeli ayam mempunyai logo halal kerana proses penyembelihan dilakukan mengikut syarak dan standard ketat dan sijil halal untuk rumah sembelihan perlu diperbaharui setiap tahun yang berbeza farmaseutikal yang berkuat kuasa hingga tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada edisi khas JAKIM Untuk Ummah (JUM) Podcast yang disiarkan secara langsung di Facebook JAKIM, hari ini.

Sirajuddin berkata, kesahihan halal bukan perkara remeh termasuk membabitkan status halal ayam yang menjadi hidangan sinonim dengan masyarakat di negara ini yang sebelum ini pernah tular dalam hantaran video memperlihatkan kepala ternakan itu seolah tidak memenuhi syarak apabila kelihatan ‘ditebuk’ dan tidak disembelih.

“JAKIM sudah membuat pemeriksaan di rumah sembelihan itu dan operasi dilakukan mengikut syarak. Keadaan sedemikian dilihat terjadi kerana pemprosesan ayam menggunakan mesin, kulit ayam menjadi panjang kerana sifatnya elastik disebabkan mesin ‘head puller’.

“Sedangkan sebelum mesin ‘head puller’ ini digunakan, haiwan itu sudah disahkan mati dengan mengikut kaedah syarak dan mesin digunakan sebelum ayam dibungkus dalam pembungkusan akhir.”

“Saya yakin dan percaya di peringkat industri, selepas disembelih ada pegawai pemeriksaan halal bertanggungjawab memastikan prosedur sebelum disembelih dipatuhi iaitu ayam hidup dan sebelum haiwan itu dicelur untuk membuang bulu, ia sudah mati selepas disembelih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberikan contoh kepentingan sijil perakuan halal kepada pengusaha makanan untuk memenuhi syarat eksport di beberapa negara luar yang meletakkan syarat pensijilan standard hala daripada negara asal.

“Ada syarikat bukan Islam mengusahakan perusahaan bawang goreng mendedahkan syarikatnya memerlukan pensijilan halal berikutan 80 peratus pasaran produknya adalah Australia yang mahu produk masuk ke negaranya mempunyai sijil halal dan peniaga mematuhinya kerana kehendak negara yang mahu produknya.

“Begitu juga pengalaman saya saya pegawai Jabatan Agama Islam Selangor sekitar 2000, ada pengusaha jamu yang beroperasi dari rumah, mahu sijil halal kerana Singapura dan Brunei meletakkan syarat sedemikan, saya menasihatkannya mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk beralih operasi sebelum permohonan sijilnya diproses,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat masih meletakkan persepsi sendiri bahawa proses permohonan halal rumit, mahal dan memakan masa untuk diperoleh di mana keadaan sebenarnya amat mudah.

“Pengusaha beranggapan ia sukar tetapi masalah sebenarnya pemohon tidak bersedia memenuhi semua keperluan yang disyaratkan dan dakwaan kos mahal sebenarnya hanya RM100 setahun.

“Keadaan itu mungkin menjadi mahal apabila menggunakan mereka menggunakan ejen atau perunding (pihak ketiga) yang ada boleh menelan RM5,000, ada dibayar setiap bulan daripada mula permohonan misalnya RM1,500 sebulan sehingga sijil yang diperoleh tamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata, JAKIM tidak pernah melantik atau mengiktiraf mana-mana pihak menjadi perunding bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Katanya, perkara itu ada pekeliling selepas ada pihak dikesan cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mendakwa mereka dilantik sebagai perunding yang boleh mendapatkan sijil halal JAKIM dengan mudah.

JAKIM tidak membuat pengiktirafan kepada mana-mana syarikat perunding dan kita hanya berurusan dengan syarikat pemohon,” katanya.

Beliau berkata, ada pihak pernah mengesyorkan sijil halal dibuat seperti pemilikan kad kredit, dikenakan caj apabila digunakan.

“Kita beritahu tidak mungkin ia dilakukan semudah itu kerana permohonan sijil halal itu perlu dipastikan memenuhi semua kriteria dan standard sebelum ia diluluskan. Sebab itu pensijilan halal kita menjadi contoh kepada banyak negara kerana memenuhi pensijilan antarabangsa,” katanya.

Berkenaan dakwaan permohonan sijil halal menunggu berbulan diperoleh, katanya hampir 98 peratus permohonan selesai dalam tempoh kurang 30 hari.

“Dahulu memang ia memakan masa hingga berbulan, kemudian dapat diselesai 60 hari dan terkini kurang 30 hari,” katanya.- Berita Harian

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bersyukur Dengan Keluarga Kita

Next Post

Fahami Hukum Asal Ucap & Sambut Perayaan Bukan Islam – Mufti

Related Posts