
GAZA CITY: Ribuan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah-randah sejak peperangan meletus pada Oktober 2023, memulakan perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing, hari ini.
Ia susulan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, yang ditunggu-tunggu sekian lama, kini berkuat kuasa setelah peperangan berlarutan selama lebih 15 bulan.
AFP melaporkan penduduk terbabit dilihat membawa bersama khemah, pakaian serta pelbagai barangan mereka dengan menaiki trak dan pedati keldai, selain ramai yang terpaksa berjalan.
Mereka menempuh perjalanan melalui kawasan Gaza yang musnah, terutama di bahagian utara wilayah Palestin itu.
Terdahulu, Israel mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas bermula di Gaza pada jam 9.15 pagi Ahad waktu GMT (5.15 petang waktu Malaysia).
Ia hampir tiga jam lewat daripada masa asal yang dijadualkan, susulan penangguhan saat akhir diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Sebelum itu, Hamas mengumumkan pihaknya telah menyerahkan nama tiga tebusan wanita Israel yang akan dibebaskan oleh kumpulan pejuang berkenaan di Gaza, hari ini.
Ia sebagai sebahagian tuntutan untuk pelaksanaan gencatan senjata yang ditangguhkan pada saat akhir oleh Netanyahu.
Terdahulu, Netanyahu dilaporkan berkata, gencatan senjata di Gaza yang sepatutnya dilaksanakan, hari ini, tidak akan berkuat kuasa hinggalah Hamas mengemukakan senarai tebusan yang bakal dibebaskan oleh kumpulan itu.- Berita Harian
#islamhidupku