
MAKKAH, 25 Mei – Seorang jemaah haji wanita Malaysia bagi musim haji 1447H/2026M meninggal dunia di sini pada Ahad akibat pendarahan otak.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham yang berasal dari Parit Jawa, Johor itu berusia 52 tahun dan hadir seorang diri ke Tanah Suci.
Menurut TH, Allahyarham merupakan jemaah daripada kumpulan KT08 dan menginap di Hotel Rehab Al-Janadriyah.
“Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Shefaa pada jam 5 pagi akibat pendarahan otak,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat Zuhur semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharai’, Makkah.
TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
Sumber: Sinar Harian