
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan lebih RM13 juta hasil kutipan fidyah pada 2023 kepada 50,054 penerima yang layak sepanjang tahun lalu.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.45 juta untuk sumbangan Agihan Fidyah MAIS (AFM) Kotak Makanan dan AFM Ejen Dapur Fidyah berjumlah RM1.34 juta diagihkan bermula Januari hingga Disember 2024.
“Selain itu, untuk tempoh sama MAIS turut mengagihkan AFM Tunai berjumlah RM2.37 juta dan AFM Wang Saku Pelajar berjumlah RM4.84 juta,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Tahun 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata sebanyak RM12.9 juta fidyah berjaya dikutip pada 2024 dan dianggarkan RM12.4 juta akan diagihkan sepanjang tahun ini.
Selain itu, Abdul Aziz berkata MAIS turut menyasarkan peningkatan jumlah kutipan fidyah, iaitu sebanyak RM16 juta pada tahun ini selaras dengan pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan serta pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Tahun 2025 bermula hari ini hingga 28 Februari depan.
Kempen diadakan bagi memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemu Ramadan akan datang.
“Sumbangan AFM Kotak Makanan dan AFM Ejen Dapur Fidyah diagihkan kepada penerima yang layak dalam bentuk Pakej Makanan Asasi terdiri dari beras, gula, kicap, sos cili, tepung gandum, minuman coklat, bihun, minyak kelapa sawit dan makanan dalam tin.
“Bagi sumbangan AFM Tunai pula dikreditkan ke akaun penerima yang layak dan AFM Wang Saku Pelajar juga wang tunai diagihkan kepada pelajar melalui Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM), terdiri dari institusi pendidikan termasuk sekolah, universiti dan kolej berkenaan,” katanya.
Bagi kutipan pula Abdul Aziz berkata, beliau memaklumkan MAIS berjaya membuat kutipan fidyah berjumlah RM12.9 juta tahun lalu untuk diagihkan tahun ini.
“Bagi tahun ini pula, MAIS menyasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM16 juta manakala agihan sebanyak RM12.4 juta.
“Sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam mereka menjalani kehidupan seharian.
“MAIS turut melantik ejen kutipan fidyah MAIS bagi menyebarluaskan kutipan fidyah terutama di negeri Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad,” katanya.
Pada masa sama katanya, MAIS bekerjasama dengan RSAFM bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah terus kepada mereka yang layak dengan menggunakan peruntukan fidyah secara efisien, menyeluruh dan menepati golongan penerima.- Berita Harian
#islamhidupku