
1.Bagi jemaah haji yang mempunyai masa yang lapang, cubalah sedaya upaya untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran ketika berada di Mekah. Ia merupakan salah satu tradisi yang disukai oleh para salafussoleh terdahulu.
2.Ibrahim al-Nakha’i menceritakan bahawa:
كانوا يحبون إذا دخلوا مكة أن لا يخرجوا حتى يختموا القرآن
“Mereka (para salaf terdahulu), sangat suka sekiranya mereka masuk ke Mekah, mereka tidak akan keluar ke Mekah melainkan setelah mereka mengkhatamkan al-Quran. (Musannaf Ibn Abi Syaibah)
3.Tradisi ini dilakukan oleh para salafussoleh terdahulu ketika mereka menunaikan haji atau umrah mereka. Kata al-Hasan:
كان يعجبهم إذا قدموا مكة لحج أو عمرة ألا يخرجوا حتى يقرءوا ما معهم من القرآن
“Mereka sangat teruja sekiranya mereka sampai ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah, di mana mereka tidak keluar dari Mekah melainkan setelah membaca apa yang ada (hafal) dari al-Quran mereka.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)
4.Abi Makhlad pula menceritakan bahawa mereka seronok untuk menghabiskan masa dengan al-Quran di Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Kata beliau:
كان يحب أو يستحب إذا قدم شيئا من هذه المساجد أن لا يخرج حتى يقرأ القرآن ، بالمسجد الحرام ومسجد المدينة ومسجد بيت المقدس
“Sesungguhnya dia suka atau menggalakkan (seseorang) sekiranya dia sampai ke salah satu masjid ini, dia tidak keluar melainkan setelah membaca al-Quran. Iaitu Masjidil Haram, atau Masjid Madinah atau Masjidil Aqsa.
5.Ini kerana bumi Mekah ini merupakan tanah yang sangat kuat hubungannya dengan al-Quran. Mekah merupakan pusat wahyu pertama umat Muhammad. Terdapat banyak kawasan yang dilalui oleh kita pada hari ini merupakan tempat penurunan wahyu suatu ketika dahulu.
6.Oleh yang demikian, para jemaah yang berkelapangan, mempunyai banyak masa di hotel, adalah disarankan untuk memperbanyakkan masa di Masjidil Haram, menekuni al-Quran seperti yang dilakukan oleh generasi salaf terdahulu.
Semoga Allah membimbing kita.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
#islamhidupku