
Alangkah anehnya mereka yang bergelar Muslim, tetapi mempersenda Islam malah membiarkan orang kafir mempersenda Nabi mereka.
Para salafusoleh terdahulu sangat mencintai Rasulullah ﷺ. Al-Qadi Iyyad merekodkan bagaimana al-Imam Malik, apabila disebutkan tentang Rasulullah, berubah warna wajahnya. Kisah ini diceritakan oleh Mus’ab ibn Abdullah yang menyebutkan:
كَانَ مَالِكٌ إِذَا ذُكِرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَغَيَّرُ لَوْنُهُ وَيَنْحَنِي حَتَّى يَصْعُبَ ذَلِكَ عَلَى جُلَسَائِهِ
Sesungguhnya Imam Malik itu apabila disebutkan kepadanya tentang Nabi ﷺ, berubah warna wajahnya dan tertunduk lama sehingga membimbangkan pelajar atau teman yang duduk bersama beliau. (al-Qadi Iyyad, al-Shifa)
Begitu juga dengan Muhammad bin al-Munkadir, tokoh al-Quran pada zaman tersebut yang mudah menangis apabila disebutkan kepadanya tentang Rasulullah ﷺ. Kata Mus’ab lagi:
لَقَدْ كُنْتُ أَرَى مُحَمَّدَ بْنَ الْمُنْكَدِرِوَكَانَ سَيِّدَ الْقُرَّاءِ، لَا نَكَادُ نَسْأَلُهُ عَنْ حَدِيثٍ أَبَدًا إِلَّا يَبْكِي حَتَّى نَرْحَمَهُ
“Aku pernah menyaksikan Muhammad bin al-Munkadir iaitu seorang tokoh al-Quran (pada zaman tersebut) yang mana kami tidak pernah bertanyakan kepadanya mengenai hadis Nabi melainkan (kebiasaannya) beliau akan menangis sehingga kami kasihankan kepada beliau.”
Ja’far bin al-Sadiq pula dikatakan seorang yang mudah tersenyum. Namun apabila disebutkan mengenai Rasulullah, wajah beliau akan berubah. Kata Mus’ab :
وَلَقَدْ كُنْتُ أرى جعفر بن محمد «2» .. وَكَانَ كَثِيرَ الدُّعَابَةِ وَالتَّبَسُّمِ فَإِذَا ذُكِرَ عِنْدَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اصْفَرَّ
“Aku turut pernah menyaksikan Ja’far bin Muhammad iaitu seorang yang mudah bergurau dan tersenyum. Apabila disebutkan kepadanya tentang Baginda Nabi ﷺ, wajahnya akan berubah.”
Semua ini menggambarkan bagaimana salafusoleh terdahulu benar-benar mencintai Rasulullah dan memuliakan Baginda. Tanamkan rasa cinta kepada kekasih Allah, hindari dari menyakiti Baginda dengan tindakan kita.
Semoga Allah membimbing kita.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Ulum Hadith Research Centre
#islamhidupku