
RIYADH: Lebih sejuta umat Islam sudah berada di Makkah menjelang musim haji tahun ini.
Pihak berkuasa Arab Saudi turut mempertingkatkan langkah pengurangan haba dengan harapan dapat mengelak berulangnya insiden pada musim haji tahun lalu, yang menyaksikan 1,301 jemaah meninggal dunia ketika suhu mencecah 51.8 darjah Celsius.
Ia kerana suhu diramalkan melebihi 40 darjah Celsius minggu ini menjelang musim haji kali ini yang bermula esok.
Ibadah haji, salah satu daripada rukun Islam kelima wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali oleh semua umat Islam yang berkemampuan.
Jurucakap melaporkan, lebih 1.3 juta jemaah haji tiba di Arab Saudi sehingga Jumaat lalu untuk menunaikan haji.
Tahun ini, pihak berkuasa menggerakkan lebih 40 agensi kerajaan dan 250,000 pegawai di samping menggandakan usaha memerangi penyakit berkaitan haba berikutan gelombang panas yang membawa maut pada tahun lalu.
Kawasan yang ada perlindungan daripada cahaya matahari diperluaskan sebanyak 50,000 meter persegi dan ribuan pegawai perubatan akan bersiap sedia dengan lebih 400 unit penyejuk akan digunakan, kata Menteri Haji Arab Saudi Tawfiq al-Rabiah kepada AFP minggu lalu.
Kementerian Kesihatan berkata, 44 kes strok haba sudah dirawat ketika suhu mencecah 40 darjah Celsius pada Isnin lalu.
Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) terkini juga akan membantu memantau data dan rakaman, termasuk video daripada kumpulan dron baharu, dari seluruh Makkah untuk menguruskan jemaah dengan lebih baik.
Walaupun cuaca panas, jemaah haji yang berasa sangat gembira selepas tiba di Makkah.
“Ini benar-benar rahmat daripada Allah.
“Kami berasa sangat aman dan selamat di tempat ini,” kata Abdul Majid Ati, seorang peguam Filipina dan kaunselor syariah kepada AFP ketika ditemui berhampiran Masjidilharam.
Sementara itu, Abdulhamid dari Nigeria berkata, dia sangat gembira kerana berpeluang menunaikan ibadah haji kedua berturut-turut, pada usia 27 tahun.
Bagaimanapun, pemuda itu mengakui tidak pernah keluar tanpa cermin mata hitam berikutan cuaca di Makkah yang sangat panas.
Tahun lalu, kebanyakan kematian adalah dalam kalangan jemaah haji tidak berdaftar yang tidak mempunyai akses kepada khemah dan bas berhawa dingin.
Menjelang haji tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi melancarkan tindakan keras secara meluas ke atas jemaah yang tidak berdaftar, menerusi serbuan, pengawasan dron dan amaran menerusi pesanan teks.
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku