
- Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa para isteri Nabi memasak dan menyediakan makanan buat suami mereka, Rasulullah. Dalam sebuah hadis, Aisyah menceritakan bahawa beliau memasak untuk Rasulullah dan menghantarkan makanan kepada Baginda. Kata beliau:
أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِخَزِيرَةٍ قَدْ طَبَخْتُهَا لَهُ
“Aku telah datang kepada Nabi SAW membawa hidangan khazirah yang telah aku masakkan untuk Baginda. (Khazirah merupakan makanan yang diperbuat dari daging dan tepung).” (HR Abu Ya’la)
- Manakala Barirah (pembantu Aisyah) pula menceritakan bagaimana adakalanya Saidatina Aisyah sampai tertidur ketika menguli makanan untuk ahli keluarganya. Kata Barirah:
تَنَامُ عَنْ عَجِينِ أَهْلِهَا، فَتَأْتِي الدَّاجِنُ فَتَأْكُلُهُ
(Aisyah merupakan seorang gadis muda) yang terkadang tertidur ketika sedang menguli tepung untuk keluarganya, lalu datanglah haiwan peliharaan dan memakannya. (HR Muslim)
- Bukan sekadar Aisyah, Saidatina Safiyah turut menyediakan dan menghantar makanan kepada Rasulullah. Malah Aisyah memuji Safiyah dalam kemahirannya menyediakan makanan. Kata Aisyah:
مَا رَأَيْتُ صَانِعًا طَعَامًا مِثْلَ صَفِيَّةَ، صَنَعَتْ لِرَسُولِ اللَّهِ طَعَامًا فَبَعَثَتْ بِهِ
“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang pandai menyediakan makanan seperti Ṣafiyyah. Beliau telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW lalu mengutuskan makanan itu kepada Baginda.” (HR Abu Daud)
- Begitu juga dengan Saidatina Ummu Salamah yang menghantar makanan kepada Rasulullah dan juga untuk para sahabat Baginda. Kata Aisyah:
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّهَا جَاءَتْ بِطَعَامٍ فِي صَحْفَةٍ لَهَا إلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابِهِ
“Daripada Umm Salamah, bahawa beliau datang membawa makanan di dalam satu bekas miliknya kepada Nabi SAW dan para sahabat baginda.” (HR al-Tahawi)
- Perhatikan bagaimana para Ummahatul Mukminin menyediakan makanan untuk suami tercinta iaitu Rasulullah. Dan keluarga Nubuwwah ini merupakan teladan terbaik buat diri kita. Andai mereka memasak dan menyediakan makanan untuk suami, mengapa tidak kita?
Semoga Allah membimbing kita.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi
#islamhidupku