
BANGI, 26 SYAWAL – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengecam pementasan sebuah persembahan teater oleh salah satu kumpulan teater kolej di universiti itu yang didakwa memaparkan unsur tidak senonoh serta melanggar batas norma kesopanan serta bercanggah dengan nilai agama Islam.
KMUM menegaskan, pementasan seni sepatutnya menjadi wadah pembangunan intelektual, kreativiti dan sahsiah mahasiswa, bukan dijadikan ruang yang didakwa menormalisasikan kandungan tidak bermoral sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan warga kampus.
Sehubungan itu, KMUM mengemukakan dua tuntutan utama terhadap pihak terlibat, iaitu kumpulan teater berkenaan serta pihak penganjur program.
Antaranya, kumpulan teater berkenaan diminta mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga kampus dalam tempoh 24 jam.
“Pasukan teater yang terlibat wajib mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh warga kampus dalam tempoh 24 jam atas kandungan yang dipersembahkan. Kegagalan berbuat demikian menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap sensitiviti masyarakat yang dihuni majoriti masyarakat Muslim dan nilai murni institusi,” menurut KMUM.
Dalam masa sama, KMUM turut menuntut pihak penganjur program bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan persembahan yang dipentaskan di bawah program mereka.
KMUM berkata, siasatan serta tindakan segera perlu diambil terhadap pihak yang terlibat bagi menangani isu berkenaan tanpa berlengah.
“Penganjur bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang dipersembahkan di bawah program mereka.
“Oleh itu, KMUM menuntut tindakan segera perlu diambil terhadap pihak yang terlibat tanpa berlengah. Tindakan dan siasatan haruslah dilakukan serta-merta untuk mengatasi isu tersebut,” kata kenyataan itu.
Sumber: TV Pertiwi