Isu SIS Forum : Kemenangan MAIS Pertahankan Akidah Umat Islam

KEPUTUSAN terhadap kedudukan fatwa oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dicabar oleh Sisters in Islam (SIS) Forum akhirnya sampai ke penghujung setelah melalui proses perbicaraan yang memakan masa lebih 10 tahun, melibat 3 peringkat mahkamah. Mahkamah Persekutuan telah memberi kemenangan kepada MAIS dengan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini terkait fatwa terhadap SIS Forum. Fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS diputuskan terpakai terhadap SIS Forum sebagai sebuah organisasi, namun fatwa tersebut terpakai untuk individu yang menjadi pentadbir atau ahli SIS Forum sahaja.

Keputusan tersebut dibuat atas hujah bahawa SIS Forum ini bukanlah seorang individu, ia adalah sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat. Keputusan ini ada logiknya kerana fatwa MAIS hanya terpakai kepada individu beragama Islam yang tinggal di Negeri Selangor. Namun dalam konteks SIS Forum sebagai sebuah organisasi, fatwa tersebut tidak terpakai kepada SIS Forum kerana organisasi bukan individu dan ia tidak mempunyai agama.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan empat orang hakim itu telah menimbulkan kekecewaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Sultan Selangor. Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan Islam dalam nama dan penerbitan SIS Forum boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam. Baginda juga menggesa agar SIS Forum tidak lagi menggunakan perkataan Sisters in Islam terhadap apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

Kegusaran Sultan Selangor ini ada asasnya kerana perkataan Islam yang ada pada SIS menjadikan mereka duta yang mewakili Islam pada kaca mata orang bukan Islam. Kontradiksi berlaku apabila pegangan akidah SIS Forum tidak selari dengan autoriti agama di Negeri Selangor, jika dibiarkan SIS Forum terus bergerak aktif maka ia bakal menganggu usaha dakwah di Negeri Selangor terutama melibatkan orang bukan Islam.

Penyokong SIS Forum menerima keputusan itu sebagai simbol kemenangan sebenarnya cuba menutup perasaan kesal dan kekalahan mereka dari mata umum. Walaupun SIS Forum sebagai sebuah organisasi terkecuali dari fatwa tersebut, namun setiap partisan SIS Forum yang beragama Islam tidak dapat mengelak diri dari dianggap sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan ini akan membataskan penggerak SIS Forum yang beragama Islam dari terus menunggang nama Islam sesuka hati pada hadapan. Jika penggerak ini terus berkeras untuk menunggang nama Islam secara sesuka hati maka mereka perlu bertaubat dan MAIS mempunyai bidang kuasa untuk menangani masalah kesesatan tersebut.

Mereka yang masih berdegil untuk mengangkat perjuangan SIS Forum boleh dikenakan kaunseling, denda yang tinggi dan hukuman penjara jika disabit kesalahan di
Mahkamah Syariah Selangor. Hukuman ini sedikit sebanyak akan melemahkan pergerakan partisan SIS Forum dari terus mengelirukan dan mencemarkan nama Islam di Negeri Selangor.

Kesimpulannya, keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap SIS Forum sebenarnya adalah simbol kemenangan untuk MAIS. Kemenangan paling besar
apabila umat Islam di Malaysia mula sedar bahawa penggerak SIS Forum yang mendukung fahaman liberal dan pluralisme agama sebenarnya adalah sesat dan perlu bertaubat.

Kesedaran ini akan menjauhkan ummat Islam di Malaysia terutamanya di Negeri Selangor terhadap SIS Forum dan pemikiran yang mereka perjuangkan. Nama SIS Forum akan terus tenggelam pada masa hadapan apabila penggeraknya tidak dapat bergerak bebas untuk menunggang nama Islam.

Oleh: Dr. Mohd. Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia

Sumber, e-terbitan: Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Amal Surah Al-Waqiah & Yasin, Rahsia Pasangan Kembar Cemerlang STPM

Next Post

Pengajaran Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW

Related Posts