
JAWATANKUASA SYARIAH NEGERI PERAK PADA 30 APRIL 2009 TELAH MENGELUARKAN PANDANGAN DAN KEPUTUSAN BERKAITAN PERJUANGAN DI PALESTINE SEPERTI BERIKUT.
TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM TERHADAP ISU PALESTIN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Isu umat Islam di Palestin telah berlarutan sejak 1930an lagi apabila negara Palestin telah dicerobohi dan diduduki secara haram oleh orang-orang Yahudi. Negara Palestin yang menjadi tanah para anbiya’, Masjidil Aqsa dan perkuburan para syuhuda’ hari ini telah semakin dahsyat dirosakkan dan diceroboh oleh negara haram Israel. Kejadian serangan besar-besaran terhadap umat Islam di Gaza, Palestin lewat tahun 2008 sehingga kini yang menyebabkan beribu orang terkorban dan tercedera adalah kemuncak kekejaman Israel.
Bertitik tolak dari ini, satu kenyataan pendirian Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan berkaitan tanggungjawab umat Islam terhadap isu Palestin telahpun diperaku secara tuntas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang Kali Ke-180 pada 30 April 2009 bersamaan 5 Jamadilawal 1430H. Pendirian Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan terhadap usaha-usaha pembelaan umat Islam di Palestin dizahirkan untuk tujuan seperti berikut:-
PERTAMA: Sesungguhnya Palestin yang diberkati Allah SWT seperti yang disebut di dalam Al-Quran adalah bumi Islam dalam erti kata yang sebenarnya, Kiblat Pertama, di dalamnya terdapat masjid yang kedua dibina di atas muka bumi, masjid ketiga suci bagi umat Islam dan tempat israk Rasul kita SAW. Oleh kerana itu, sesiapa pun tidak boleh mengalah dan menyerahkan walau seinci dari buminya kepada orang-orang bukan Islam. Firman Allah SWT:
سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
“Maha suci Tuhan yang mengisrakkan (menggerakkan) hambaNya di waktu malam dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan) Kami”
(Al-Isra’: 1)
KEDUA: Zionis Antarabangsa yang berwajahkan Israel adalah manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman di sepanjang sejarah mereka. Telah jelas dan terbukti permusuhan mereka terhadap Allah dan rasul-rasulNya. Merekalah dalang setiap kejahatan, kerosakan, memungkiri perjanjian, menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan Allah, khianat dan berdendam terhadap sesiapa sahaja yang berinteraksi dan mendekati mereka. Sesungguhnya mereka telah menceroboh bumi Palestin dengan mengusir dan membunuh penduduknya yang beragama Islam melalui dokongan berterusan dari Negara-negara Barat yang zalim dan bermusuhan. Firman Allah SWT:
۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةًۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةًۭ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًۭا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ٨٢
“Sungguh kamu akan dapati manusia yang paling sengit permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang musyrik”
(Al-Ma’idah: 82)
Zionis Israel ini adalah kumpulan yang menceroboh dan menjajah bumi Palestin. Oleh itu, kebenaran mestilah dikembalikan semula kepada tuannya walau panjang mana berlalunya zaman. Kita tidak redha dan tidak menerima Penjajahan zalim dari puak Zionis ini terhadap Bumi Suci kita.
KETIGA: Jihad di jalan Allah dan Penentangan Bersenjata adalah pilihan yang strategik ke arah mengembalikan bumi yang diceroboh dan hak yang dicuri. Zionis sebenarnya tidak mengetahui bahasa dalam bentuk perbincangan dan tidak memahami makna Perdamaian. Cara mereka ialah pembunuhan dan melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu kami yakin bahawa satu-satunya bahasa yang difahami oleh mereka ialah bahasa Jihad dengan segala cara dan jenis. Jangan dihentikan Jihad melainkan setelah orang Zionis yang terakhir keluar dari bumi Palestin. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan persiapkan (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda-kuda yang disiap siaga. Dengan (kekuatan) itu kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu”
(al-Anfal: 60)
KEEMPAT: Mereka yang mengambil jalan Jihad dan Penentangan sebagai jalan mereka, memikul ruh-ruh mereka di atas bahu, menyumbangkan para Syuhada’, harta, mengorbankan apa yang mahal dan bernilai sebagai harga untuk membebaskan bumi ini, sekalipun musuh memiliki kelengkapan ketenteraan canggih dan kekuatan menyerang penuh kejam yang menyerlahkan kebencian membabi buta mereka terhadap setiap orang Islam, mereka itulah dari golongan yang dimenangkan dengan izin Allah. Mereka layak didokong, dibantu dan ditolong. Sabda Rasulullah SAW:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لأوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ؟” قَالُوا : ” يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قَالَ : ” بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِس”.
“Akan terus ada satu golongan dari umatku yang terus terang di atas kebenaran, menentang musuh-musuh mereka sehingga datang ketentuan Allah sedang mereka masih dalam keadaan demikian. Seseorang Sahabat bertanya, “Dimanakah mereka ya Rasulullah?”. Baginda SAW menjawab, “Di Baitul Maqdis dan di sekeliling Baitul Maqdis”.
(Hadis riwayat Ahmad)
KELIMA: Di sini kami ingin mengingat dan menegaskan peranan masyarakat dunia dalam membantu mereka dalam isu ini, dan kewajipan dari segi Syarak yang mana agama kita mewajibkan ke atas mereka ialah berjihad di jalan Allah dengan erti kata yang sebenar-benarnya, menyumbang bantuan material, melakukan pemboikotan ekonomi, politik dan kebudayaan terhadap Israel dan terhadap negara-negara yang mendokongnya samada di Barat atau Timur, menolak untuk mengadakan hubungan dengannya dalam apa jua bentuk sekalipun. Kami menegaskan bahawa haram berinteraksi dengan badan Zionis ini dan dengan sesiapa yang mendokongnya dalam apa bentuk sekalipun. Kita wajib berpendirian seperti firman Allah SWT:
وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ١٣٩ إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌۭ فَقَدْ مَسَّ ٱلْقَوْمَ قَرْحٌۭ مِّثْلُهُۥ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٤٠
“Dan janganlah kamu merasa hina, dan jangan (pula) merasa sedih sedang kamulah yang paling tinggi sekiranya kamu orang-orang beriman. Jika kamu ditimpa kesakitan, maka (ketahuilah bahawa) mereka juga ditimpa sakit seperti kamu. Demikianlah Kami mempergilirkan hari-hari (turun naik dan suka duka) di kalangan manusia. Dan supaya Allah mengetahui (siapa benar-benar) orang-orang beriman dan supaya Dia mengambil para Syuhada’ dari kalangan mereka. Dan Allah tidak suka orang-orang zalim”
(ali-Imran: 139-140)
Menjadi kewajipan sekalian umat Islam agar bersatu dan berhimpun di bawah satu kepimpinan. Setiap dari kalangan mereka menjalankan peranan masing-masing dan meninggalkan segala bentuk perselisihan yang dimurkai Allah yang membantutkan Jihad dijalanNya. Firman Allah SWT:
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا… ١٠٣
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dulu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan hati-hati dan dengan nikmatNya kamu jadi bersaudara”.
(ali-Imran: 103)
Maka, setiap umat Islam diseru untuk menanggung rasa tanggungjawab terhadap kejadian-kejadian yang berlaku sekarang ini di bumi Islam dan umat Islam di bumi Gaza, Palestin yang bangkit teguh berdepan dengan pencerobohan dan penyembelihan yang diingkari oleh apa sahaja nilai, akhlak serta kemanusiaan. Kepada para Mujahideen di Gaza, Palestin dan di mana sahaja bumi Islam yang sedang dijajah, katakan kepada mereka bahawa sesungguhnya dengan darah, kamu telah membayar harga iman, keagungan dan kemuliaan. Oleh itu teguhlah kamu, maralah ke hadapan dan bersabarlah. Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mensia-siakan amalan-amalan kamu.
Sumber: SS. Dato’ Zamri bin Hashim
#islamhidupku