
KUALA LUMPUR: Jenazah Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada jam 2.28 petang tadi.
Terdahulu, solat jenazah telah diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara pada jam 1.50 petang.
Ia diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni dan dihadiri oleh ahli keluarga, pemimpin negara serta orang awam.
Selesai solat, jenazah Allahyarham diusung keluar sebelum dibawa ke tempat persemadian terakhir di Makam Pahlawan.
Hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ia termasuk barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad.
Terdahulu penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Tun Abdullah berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang di Masjid Negara.
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku