413,372 Calon Duduki SPM 2025 Bermula 3 November Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 413,372 calon akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara, bermula 3 November hingga 23 Disember depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 127,526 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.

KPM menasihatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod serta nama kertas peperiksaan dan arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan SPM 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my. Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan bahawa semua calon perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan bagi menjamin kelancaran peperiksaan.

KPM juga cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas, termasuk menghadapi risiko bencana dan penularan penyakit berjangkit seperti Influenza-Like Illness (ILI).

“KPM siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan. Calon dinasihatkan memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika terkesan akibat bencana,” jelas kenyataan itu.

SPM 2025 dijadualkan mulai 3 November hingga 23 Disember depan, dimulakan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 3 hingga 6 November, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November.

Bagi calon aliran Sains, Ujian Amali Sains membabitkan mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi akan dijalankan pada 17, 18 dan 19 November, manakala Ujian Amali Sains Tambahan dijadualkan pada 19 November.

Seterusnya, calon akan menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 20 November, sebelum memasuki fasa utama peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember 2025.

Sumber: Buletin TV3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JAKIM Tegaskan Standard Halal Negara Tiada Kompromi

Next Post

413,372 Calon Duduki SPM Bermula Hari Ini Di 3,350 Pusat Peperiksaan

Related Posts