JAKIM Tegaskan Standard Halal Negara Tiada Kompromi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan kononnya Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, dalam kenyataan berkata tuduhan itu boleh menjejaskan reputasi dan integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Malaysia tidak sesekali berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia. Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat (AS), tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah dan standard halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 2.5 Perjanjian Perdagangan Malaysia–AS hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan yang diiktiraf JAKIM bagi tujuan pentadbiran, manakala proses pengauditan dan pengesahan akhir masih di bawah kawalan penuh jabatan itu.

“Tiada kelonggaran diberikan. Semua proses audit dan pemantauan dilaksanakan mengikut Malaysian Standard dan protokol halal yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa bagi loji sembelihan luar negara yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui audit ketat yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pegawai syariah daripada badan yang diiktiraf JAKIM.

Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap sijil halal luar negara tidak bermaksud Malaysia melonggarkan standard halal, sebaliknya bertujuan mempercepatkan urusan pentadbiran dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

“Semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala serta peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya lagi.

Menurutnya, Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan keutuhan sistem halal negara.

“Standard Halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi. Sistem pensijilan kita terus menjadi penanda aras global serta diterima pakai oleh banyak negara Islam dan bukan Islam di seluruh dunia,” katanya.

Sumber: Buletin Tv3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Pemilihan Jemaah Haji Kekal Ikut Giliran, Bukan Umur” – Mohd Na’im

Next Post

413,372 Calon Duduki SPM 2025 Bermula 3 November Ini

Related Posts