Petugas Haji Tanah Suci Mula Berlepas Ke Arab Saudi

PUTRAJAYA: Seramai 632 petugas haji Tanah Suci digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula hari ini bagi membuat persiapan awal operasi musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Hamadah Syed Othman, berkata seperti tahun sebelumnya, TH menempatkan petugas haji Tanah Suci secara menyeluruh, merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji serta ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan sebagainya.

“Bagi musim haji 1446H ini, terdapat dua kumpulan petugas utama iaitu Petugas Rombongan Kebajikan seramai 358 orang dan Petugas Rombongan Perubatan seramai 274 orang.

“Saya percaya gabungan pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman inilah yang membentuk satu pasukan kuat dan mampu memberi perkhidmatan cemerlang kepada jemaah haji negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hamadah berkata, dua penerbangan kumpulan petugas seramai 74 orang mula berlepas hari ini, diikuti kumpulan selebihnya yang akan berlepas secara berperingkat, bagi memastikan segala persiapan dalam keadaan terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.

“Semua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini sudah mengikuti kursus yang cukup komprehensif bagi meningkatkan kecekapan, pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya serta terlatih dalam melaksanakan tanggungjawab menyantuni 31,600 bakal haji negara,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 29 April ini, manakala penerbangan terakhir adalah pada 1 Jun.

Bagi tahun ini, hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada 5 Jun depan.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa semua jemaah haji Malaysia membabitkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).– BERNAMA

Sumber: Berita Harian

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kelantan Tidak Pernah Luluskan Lesen Penjualan Vape – Exco

Next Post

Lembaga Zakat Selangor Rekod Kutipan Zakat RM1.22 Billion Tahun Lepas

Related Posts