
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini, dimaklumkan bahawa ibu kepada seorang pelajar yang dituduh di mahkamah dalam kes membabitkan Allayarham Zara Qairina Mahathir, sering berhubung dengan ketua warden asrama menyatakan anaknya dibuli sejak Mac lalu.
Saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap berkata, ibunya melaporkan perkara itu secara peribadi kepadanya melalui aplikasi Telegram.
Beliau bagaimanapun berkata, pelajar dikenali sebagai ‘A’ itu tidak pernah membuat aduan kepada mana-mana guru atau warden.
Azhari berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang remaja terbabit dalam kes tersebut, berhubung mesej yang dihantar oleh pelajar ‘A’.
Joan: Apa tindakan kamu apabila menerima aduan dari ibu pelajar A?
Azahari: Saya berjumpa sendiri dengan pelajar ‘A’ dan tanya dia apa yang berlaku. Selepas saya jumpa pelajar ‘A’, saya beritahu kepada unit disiplin, sudah ambil tindakan dan saya serahkan kepada pengawai polis dan saya rasa inilah isu gangguan seksual yang diviralkan di media sosial. Hasil siasatan sekolah perkara ini cuma salah faham yang diceritakan oleh pelajar ‘A’.
Joan: Ibu pelajar ‘A’ juga ada mengadu bahawa almari anaknya diumpil. Boleh jelaskan?
Azhari: Saya dah siasat tapi tak ada bukti.
Joan: Ada bukti yang almari pelajar ‘A’ memang kena umpil?
Azhari: Itu saya tidak pasti.
Joan: Cikgu, kamu siasat macam mana kamu tidak pasti? Kamu tengok almari kunci kena umpil atau tidak?
Azhari: Tidak.
Azhari menjelaskan, beliau hanya melakukan siasatan dengan bertanya kepada pelajar yang dituduh mengumpil pintu almari pelajar ‘A’.
Prosiding inkues melibatkan Azhari dan saksi-saksi pelajar SMKA Tun Datu Mustapha bersambung esok. – Awani
Sumber: SInar Harian