Masjid usia 411 tahun di jawa tengah terima sumbangan dari malaysia

KUALA LUMPUR: Ramadan yang bakal tiba amat bermakna bagi penduduk Islam di Kelurahan Sapuro Kebulen di Indonesia apabila Masjid Jami Aulia Pekalongan menerima sumbangan permaidani daripada Malaysia.

Permaidani berona hijau bermotifkan sejadah Raudah Masjid Nabawi, Madinah untuk masjid berusia 411 tahun di Pekalongan, Jawa Tengah itu diserahkan pada majlis dihadiri Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Mohd Shamsuri Ghazali.

Yang hadir sama pada majlis semalam, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan.

Selain permaidani sumbangan Yayasan VFive, Teraju Construction Sdn Bhd dan beberapa individu dari Malaysia itu, lebih 1,000 jemaah masjid berkenaan semalam turut dijamu hidangan tengah hari selepas solat Jumaat.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, Mohd Shamsuri berkata, sumbangan berkenaan membuktikan kerajaan Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang erat.

“Hubungan ini bukan sahaja dari segi keserumpunan bangsa dan budaya, tetapi juga melalui dakwah Islam kedua-dua negara,” katanya.

Asro pula berkata, program sedemikian mampu mengukuhkan silaturahim kerana masjid bersejarah yang terletak kira-kira 361 kilometer dari Jakarta itu adalah pusat aktiviti keagamaan utama masyarakat di kawasan berkenaan.

Masjid Jami Aulia Pekalongan, yang dibina pada 1614, dipilih kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Ia dibangunkan oleh empat agamawan terkemuka, iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman dan Nyai Kudung, yang diutus oleh Kesultanan Demak Bintoro. Keempat-empat mereka dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah.

Sementara itu, Nazir dan Ketua Umum Masjid Jami Aulia Pekalongan, Ahmad Dhananir Mutasil, 67, berkata mereka menghargai sumbangan berkenaan.

“Kami mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan permaidani baharu ini dan jamuan tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kedua-dua negara perlu mencari persamaan berlandaskan agama dan faktor serumpun kerana hubungan yang terjalin ibarat ahli keluarga.

“Sama-sama kita berdoa agar pemimpin kedua-dua negara terus memperkukuhkan hubungan. Begitu juga rakyat Indonesia dan Malaysia, harus terus memelihara kesamaan akar budaya, sejarah, agama, bahkan keturunan yang sama,” katanya.

Ahli kariah, Fauzan Sasmati, 88, berkata beliau amat terharu dengan sumbangan diberikan yang sudah tentu memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat tarawih dan Aidilfitri tidak lama lagi.- Berita Harian

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Persediaan Jiwa Sebelum Masuknya Ramadan

Next Post

menteri gesa pengurusan masjid, surau tingkatkan kawalan keselamatan

Related Posts