
KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan Malaysia bagi penambahan 10,000 kuota haji pada musim ini hanya akan diketahui pada hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Malaysia masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi selepas menghantar surat permohonan bagi penambahan kuota haji tahun ini.
Katanya, keputusan penambahan kuota itu dijangka dimaklumkan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Mengenai kuota haji, kita belum menerima respons (maklum balas) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Memang tahun lepas pun, kita terima jawapan itu agak lewat. Mungkin ada pertimbangan (tetapi) saya percaya biasanya akan ada (penambahan kuota) mengikut trend sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, keputusan penambahan kuota itu juga bergantung kepada polisi baharu diperkenalkan Arab Saudi.
“Kita tak pasti lagi apa polisi yang akan kerajaan Arab Saudi gunakan pada tahun ini.
“Kalau dia (Arab Saudi) kata ketat contohnya kalau tak nak jumlah begitu ramai macam musim haji semasa Covid-19 dulu, jadi mungkin tak ada pertambahan.
“Jadi, ia (penambahan kuota tahun ini) bergantung kepada polisi yang akan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya hujung bulan ini atau sebelum haji,” katanya.
Pada musim haji tahun ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota rasmi bagi jemaah Malaysia ialah 31,600 orang dan Malaysia memohon 10,000 lagi kuota tambahan daripada Arab Saudi.
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku