
SEPANG – Pengorbanan membesarkan tujuh orang anak akhirnya dibalas dengan penuh makna apabila pasangan warga emas, Sulong Othman, 76, dan Timah Wahab, 74, dari Kuala Rompin, Pahang terpilih menunaikan ibadah haji musim ini hasil inisiatif serta usaha anak-anak mereka.
Menurut Sulong, beliau tidak pernah menyangka akan diberi peluang untuk menunaikan haji selepas sekian lama hidup sederhana sebagai petani di kampung.
“Saya tidak ada simpanan khusus untuk menunaikan haji selama ini kerana tanggungjawab cuma membesarkan anak-anak dengan penuh tanggungjawab.
“Rezeki datang apabila anak-anak sepakat mengumpul wang dan berusaha mendapatkan tempat untuk saya serta isteri,” katanya ketika ditemui di Movenpick Hotel & Convention Centre pada Isnin.
Katanya, semua anak-anak serta menantu telah berganding bahu termasuk membuat semakan dan rayuan untuk memastikan kedua-dua orang tua itu dapat menunaikan rukun Islam kelima.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan dan keprihatinan anak-anak. Alhamdulillah, Tabung Haji juga banyak membantu. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan kami,” katanya.
Pasangan itu juga berkata kedua-duanya tidak pernah mengimpikan untuk menunaikan haji kerana sedar kemampuan mereka yang terhad.
“Bila umur semakin meningkat, kami tidak tahu sampai bila hayat kami. Anak-anak kata kalau bukan sekarang, bila lagi? Kami amat terharu dengan kasih sayang dan pengorbanan mereka,” kata Sulong.
Sulong dan Timah mempunyai tujuh orang anak dan lebih 35 cucu serta cicit.
Mereka ditemani sebahagian ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan sebelum pasangan itu berangkat ke Tanah Suci.
“Kami hanya orang kampung. Kerja pun tidak tetap, sekadar membantu di ladang atau kebun. Alhamdulillah, semua ini ketentuan ALLAH dan doa kami dimakbulkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
#islamhidupku