Kejayaan Luar Biasa! 221 Huffaz Dari MRSM Raih Semua A Dalam SPM 2025

DUNGUN, 20 April – Keberkesanan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terus membuahkan hasil luar biasa apabila seramai 221 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang juga huffaz al-Quran, berjaya mencatatkan keputusan semua A dalam peperiksaan tersebut.

​Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan pelajar yang telah khatam 30 juzuk itu membuktikan bahawa penguasaan ilmu ukhrawi bukan penghalang, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik.

​Menurut beliau, pencapaian itu selari dengan matlamat MARA untuk melahirkan generasi teknokrat yang seimbang dari segi sahsiah dan intelek di kesemua 58 MRSM seluruh negara.

​”Berkat mendampingi al-Quran terbukti apabila pelajar kita cemerlang dalam akademik. Kita mahu seboleh-bolehnya semua pelajar MRSM mampu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran melalui pengukuhan program ini.

​”Sebanyak lima buah MRSM tersenarai sebagai lima sekolah terbaik negara dalam SPM 2025, malah lebih separuh daripada kelompok ‘Top 20’ sekolah terbaik didominasi oleh MRSM,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MRSM Dungun yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Isnin.

​Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memuji kualiti pendidikan MARA yang menyaksikan MRSM Tun Ghafar Baba muncul sebagai sekolah nombor satu di Malaysia.

​”Keputusan SPM lalu mencerminkan kerja keras kita semua. Selain MRSM Tun Ghafar Baba yang mencatatkan peningkatan pelajar semua A+ seramai 85 orang, MRSM Ulul Albab yang masih baharu seperti di ATM Bera dan Bagan Datuk juga sudah menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik negara.

​”Sasaran kita jelas, MARA komited memperkasakan program Ulul Albab di seluruh MRSM agar pelajar bukan sahaja pakar dalam bidang sains dan teknologi, malah teguh jati dirinya dengan al-Quran,” ujar beliau.

​Katanya lagi, bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang memulakan pengajian di bawah modul baharu Ulul Albab sejak tahun lalu, mereka disasarkan untuk sekurang-kurangnya menghafaz surah-surah tertentu serta juzuk ke-30 sebelum menamatkan pengajian.

​Sebagai penghargaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan insentif berjumlah RM100,000 kepada MRSM yang berada dalam kedudukan lima terbaik, selain kelulusan peruntukan RM650,000 bagi baik pulih infrastruktur di MRSM Tun Ghafar Baba.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kontroversi Pentas: KMUM Beri Tempoh 24 Jam, Tuntut Kumpulan Teater Mohon Maaf

Next Post

Rasulullah SAW Mencela Golongan Yang Mendedahkan Dosa Sendiri

Related Posts