
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pengharaman penuh terhadap rokok elektronik dan vape menjelang tahun 2026, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, penetapan garis masa itu dibuat berdasarkan dapatan jawatankuasa pakar yang telah memberikan cadangan berhubung isu berkenaan kepada KKM.
“Ya, saya berharap ia akan berlaku sekitar pertengahan 2026. Jika tidak, maka pada separuh kedua tahun itu. Tetapi anda mesti ingat terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Namun, kita tetap mahu mengharamkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan National Blueprint for Behavioural Insights in Health hari ini.
Sebelum itu, Dr. Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, kementerian tidak boleh mendahului keputusan Kabinet kerana sebarang ketetapan dasar berkaitan kawalan tembakau dan vape perlu mendapat kelulusan peringkat tertinggi kerajaan.
“Kita mengambil pendekatan secara berfasa. Usaha ini akhirnya adalah untuk mengharamkan vape sepenuhnya. Tetapi saya tidak boleh mendahului keputusan Kabinet,” katanya.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menegaskan, pihaknya komited melindungi kesihatan awam khususnya generasi muda yang kini menjadi pengguna terbesar rokok elektronik dan vape di negara ini.
Beliau berkata, satu jawatankuasa pakar telah pun memberikan syor mereka, yang akan diperincikan lagi apabila memorandum akhir dibentangkan.
“Jawatankuasa pakar sedang meneliti perkara ini dengan lebih konkrit dan terperinci. Apabila memorandum dibentangkan, semua hujah akan dikemukakan,” jelasnya.
KKM sebelum ini menjelaskan pihaknya dalam proses merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai pengharaman rokok elektronik atau vape bagi memastikan pelaksanaannya dirancang secara intensif dan menyeluruh.
Malah Dr Dzulkefly berkata, butiran dan fasa pelaksanaan pengharaman vape akan dibentangkan kepada Kabinet setelah ia selesai dirangka, maka semua pihak perlu bersabar menunggu pengumuman lanjut termasuk bila, bagaimana dan fasa-fasa seterusnya.
Sumber: MalaysiaGazette