
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya supaya berbuat baik, menghormati atau menjaga hubungan harmoni dengan masyarakat bukan Islam.
Katanya, dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, menghadiri majlis perkahwinan rakan atau jiran bukan Islam pada asasnya dibenarkan selagi tidak membabitkan perkara yang bercanggah dengan syariat.
“Isu yang perlu dibezakan ialah antara menghadiri majlis sosial dengan menyertai sesuatu upacara atau perlakuan yang mempunyai unsur keagamaan seperti jamuan, mengucap tahniah, memberi hadiah dan meraikan persahabatan tidak sama dengan mengambil peranan tertentu dalam suatu ritual,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan video yang tular di media sosial memaparkan beberapa wanita Muslim penghantar dulang hantaran atau ‘dulang girls’ dalam satu majlis perkahwinan rakan bukan Islam.
Dulang yang dinyalakan dengan lilin itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet termasuk pempengaruh. Malah, ada juga mengecam perbuatan sekumpulan wanita itu dengan menganggap ia menyerupai ritual agama tertentu.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, dalam isu tular itu, masyarakat perlu berhati-hati daripada terus menjatuhi hukum hanya berdasarkan rakaman pendek. Katanya, beberapa perbuatan perlu dipastikan dahulu termasuk fungsi penyertaan mereka, konteks perarakan, selain lampu atau lilin yang dibawa itu sama ada sekadar hiasan atau mempunyai ritual keagamaan.
“Hukum terhadap sesuatu perbuatan bergantung pada hakikat dan konteksnya, bukan semata-mata rupa luaran. Jika selepas dikenal pasti perbuatan membawa lampu atau lilin dan perbuatan mengiringi pengantin itu adalah sebahagian daripada ritual atau simbol keagamaan Hindu dalam upacara berkenaan, orang Islam hendaklah mengelak penyertaan sedemikian.”
“Dalam keadaan itu, ia bukan lagi sekadar persoalan menghormati budaya atau membantu seorang sahabat, tetapi sudah memasuki ruang penyertaan dalam suatu amalan yang mempunyai makna keagamaan,” katanya.
Mohd Sukki berkata, prinsip itu selari dengan penjelasan rasmi Muzakarah MKI pada 15 Mei 2025 bahawa Islam membezakan antara hubungan sosial dengan penyertaan dalam ritual agama lain.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/09/1407848/isu-wanita-muslim-jadi-dulang-girls-perlu-dilihat-mengikut-fungsi-konteks
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/09/1407848/isu-wanita-muslim-jadi-dulang-girls-perlu-dilihat-mengikut-fungsi-konteks