Inkues Zara Qairina: Kini Giliran Guru Sekolah Dipanggil

KUALA LUMPUR: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah hari ini akan membabitkan penyataan saksi dalam kalangan guru sekolah Allahyarham.

Bercakap kepada BH hari ini, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri, berkata mahkamah dijangka memanggil beberapa guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Selain guru, Shahlan juga menganggarkan antara 30 hingga 40 saksi lain akan dipanggil memberi keterangan bagi kes terbabit.

“Saksi ini terdiri daripada guru yang menemui diari dan 15 helaian kertas dikatakan milik Zara Qairina.

“Berdasarkan perkiraan saya, saksi lain yang akan dipanggil mungkin membabitkan beberapa pakar daripada pihak kami,” katanya.

Belum tahu bila ibu Zara Qairina akan dipanggil

Ditanya giliran ibu Zara Qairina memberikan keterangan, Shahlan bagaimanapun menjelaskan perkara itu belum dapat disahkan setakat ini.

“Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, memang akan dipanggil memberikan keterangan, namun gilirannya belum dapat dipastikan. Pasukan pendakwaan juga dijangka memanggil pakar psikologi dan pakar psikiatri untuk memberi keterangan dalam kes ini.

“Pihak kami juga akan memanggil pakar psikologi dan pakar psikiatri selepas saksi pendakwaan selesai memberi keterangan,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Koroner menamatkan sesi keterangan secara tertutup dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina selepas memanggil 35 saksi kanak-kanak.

Saksi kanak-kanak terbabit, yang mula memberi keterangan pada 22 September lalu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan 2024), selesai berbuat demikian pada hari ke-36 prosiding inkues.

Sepanjang sesi tertutup itu, petugas media tidak dibenarkan berada dalam mahkamah bagi melindungi identiti semua saksi selaras dengan peruntukan akta berkenaan, yang melarang sebarang penerbitan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sehari sebelumnya dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan satu inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC mengarahkan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MAINPP Yakin Kutipan Zakat Cecah RM200 Juta Tahun Ini

Next Post

Netizen Persoal Tayangan ‘Santiago of the Seas’ Di RTM2, Dakwa Ada Unsur LGBT

Related Posts