Dakwaan Tiada Dalil Al-Quran Tentang Menutup Aurat (Memakai Tudung)

Dakwaan bahawa tiada dalil mewajibkan menutup aurat kepala dan rambut bagi wanita adalah tidak tepat dan bercanggah dengan nas-nas yang jelas dalam al-Qur’an, hadis Nabi SAW serta ijmak ulama sepanjang zaman. Wanita wajib menutup aurat dengan melabuhkan tudung kepalanya berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka.”
Surah an-Nur (31)

Dalam Tafsir al-Munir, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menerangkan perkataan “khumurihinna” (خُمُرِهِنَّ) berasal dari perkataan khimar (خمار). Khimar ialah kain yang digunakan oleh wanita untuk menutup bahagian kepala dan rambut. Manakala perkataan “juyubihinna” (جُيُوبِهِنَّ) berasal dari perkataan jaib (جيب) iaitu bukaan di bahagian atas jubah atau pakaian yang kelihatan sebahagian daripada dada.

Penggunaan perkataan khimar atau pakaian yang menutup bahagian kepala dalam perintah Allah SWT tersebut dapat difahami bahagian kepala dan rambut sememangnya wajib ditutup. Justeru itu, ayat ini bukan hanya menyuruh menutup dada semata-mata, tetapi menyuruh wanita melabuhkan tudung yang sedia dipakai di kepala sehingga tutup ke bahagian dadanya.

Selain itu, kewajipan menutup rambut dan kepala bagi wanita muslimah bukan isu khilaf, tetapi ia telah diperkuatkan dengan hujah daripada dalil hadis Rasulullah SAW dan ijmak yang disepakati oleh ulama sepanjang zaman. Mengingkarinya tanpa alasan yang munasabah boleh membawa kepada penolakan terhadap syariat yang terang dan jelas.

Menutup rambut atau kepala secara keseluruhannya bukan sekadar melambangkan identiti wanita muslimah, bahkan ia adalah tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan dan perintah agama. Bahkan dengan menutup kepala bukan sahaja menjadikan seorang wanita menunaikan tanggungjawab agama, namun mereka turut menunaikan tanggungjawab menjaga keamanan sosial dari mencetuskan punca kepada kelalaian syahwat yang sukar diuruskan dalam keadaan wanita tidak menjaga aurat. Seorang penyair berkata:
“Semua musibah berlaku puncanya daripada mata. Sebesar-besar api bermula daripada api yang kecil.”

Menutup kepala juga tidak akan menindas atau menyekat kebebasan wanita muslimah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dalam apa-apa bidang sekalipun. Pensyariatan ini perlu dilihat sebagai salah satu bentuk perlindungan kepada akhlak, maruah dan keselamatan wanita muslimah. Kenyataan ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Ahzab (59)

Begitu juga, dengan menutup aurat dapat membina sifat malu dalam diri dan perasaan saling hormat antara manusia yang merupakan asas kekuatan dalam sesebuah masyarakat. Napoleon pernah menyatakan kubu terkuat bagi sebuah negara adalah wanita solehah.

Umat Islam seharusnya menerima kebenaran ayat-ayat Allah dan melatih diri untuk patuh kepada syariat yang telah ditetapkan. Walaupun pelaksanaan syariat akan sering diuji dengan pelbagai cabaran, khususnya dari dorongan hawa nafsu, namun Allah SWT menjanjikan kemudahan bagi mereka yang berusaha membentuk diri mengikut acuan-Nya.

Wallahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rakyat Malaysia Di Iran Akan Dipindahkan Melalui Ashgabat

Next Post

Fatwa Sesat Terhadap Liberalisme, Pluralisme Disahkan Mahkamah Persekutuan

Related Posts