40 Usahawan Asnaf Kini Pembayar Zakat, Sumbang Lebih RM66,000

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 orang usahawan yang dahulunya penerima bantuan asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini menjadi pembayar zakat, dengan sumbangan RM66,051.00 bagi tahun 2024.

Antara kisah kejayaan yang menyerlah ialah pengasas Tijara Kitchen, Marliza Mohd Yunus yang berjaya mencatat bayaran zakat tertinggi sebanyak RM11,241.00.

Beliau memulakan perniagaan ketika pandemik Covid-19 dengan hanya 150 pek makanan.

Hari ini, beliau membekalkan lebih 1,200 pek makanan harian kepada program asnaf dan tadika Permata, dengan 10 pekerja tetap dan dua pemandu penghantaran.

Berkat bantuan MAIWP termasuk modal sebanyak RM15,000, serta bimbingan melalui kursus keusahawanan, beliau kini telah membayar zakat selama tiga tahun berturut-turut.

“Saya bermula sendiri. Bila dapat bantuan, saya gunakan sepenuhnya untuk peralatan dan bahan mentah.

“Tak sangka dari 150 pek, saya kini uruskan lebih seribu,” katanya ketika ditemui media selepas Jalinan Kasih Aidilfitri Usahawan MAIWP di Menara MAIWP, hari ini.

Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kekuatan strategi pembangunan usahawan mereka.

“Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 20 program pembangunan usahawan telah dilaksanakan, membabitkan 1,320 peserta dan dana RM11.3 juta, selain suntikan modal kepada 465 individu.

“Kami percaya, kejayaan bukan hanya melalui bantuan kewangan, tetapi juga bimbingan berterusan dan jaringan peluang.

“Kita mahu melihat lebih ramai bekas asnaf bukan sahaja keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi juga menyumbang semula sebagai pembayar zakat,” ucapnya ketika merasmikan majlis itu tadi.

Bagi tahun 2025 pula, MAIWP memperkukuh komitmennya dengan peruntukan dana zakat sebanyak RM57 juta.

Dana ini bukan hanya untuk pembangunan usahawan, tetapi juga untuk latihan teknikal dan vokasional dalam bidang seperti automotif, minyak dan gas, kimpalan serta pelbagai program kerohanian.

Ia selari dengan matlamat MAIWP untuk melahirkan lebih ramai usahawan berilmu, mahir dan berdaya saing daripada kalangan asnaf.

Sumber: Malaysia Gazette

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lembaga Zakat Selangor Rekod Kutipan Zakat RM1.22 Billion Tahun Lepas

Next Post

Doa oleh para tetamu kepada tuan rumah

Related Posts