2 RUU Perkukuh Pentadbiran Islam, Perundangan Syariah

Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Pentadbiran) dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Tatacara Mal) diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ini pengalaman pertama penulis membentang dan berbahas serta menggulung bagi dua RUU walaupun masih baharu di Parlimen.

Agensi, pengamal undang-undang dan pemegang taruh lain termasuk orang ramai sememangnya sudah lama menunggu kedua-dua RUU ini dibentang serta diluluskan di Parlimen.

Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585) adalah akta yang sudah agak lama dan perlu diberi penambahbaikan menyeluruh.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk agensi hal ehwal agama mengeluarkan kenyataan menyokong penuh dan mengiktiraf impak RUU ini.

Kedua-dua RUU ini sangat signifikan bagi memperkasakan urusan pentadbiran agama Islam dan mahkamah syariah. Ia memperkemas, memperkukuh, mengefisienkan lagi aspek pentadbiran agama.

Ia menunjukkan usaha berterusan dan bersepadu kerajaan memperkasakan pentadbiran Islam serta memperkukuh perundangan syariah khususnya di Wilayah Persekutuan dan umumnya di Malaysia. Ini kerana undang-undang diluluskan peringkat Persekutuan boleh dijadikan model atau rujukan kepada negeri.

RUU Pentadbiran umumnya adalah untuk meminda Akta 505 yang memperuntukkan aspek berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi mahkamah syariah serta perkara berhubungan.

Akta 505 turut memperuntukkan peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah Persekutuan, iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mengenai MAIWP, RUU Pentadbiran memperuntukkan penyusunan semula keanggotaan, penambahbaikan operasi pentadbiran dan kewangan, memasukkan kuasa majlis berkenaan untuk melantik pegawai dan pemberi khidmat, kuasa pelaksanaan hal ehwal wakaf serta kuasa menubuhkan dan menguruskan rumah kebajikan, tempat perlindungan dan pusat pemulihan.

Ia juga menaikkan kadar hukuman bagi kesalahan membuat pungutan khairat tanpa kebenaran, memberi kuasa melanjutkan tempoh perkhidmatan imam ratib dan pembantu bilal selepas mencapai umur 60 tahun sekiranya layak, membolehkan lantikan ketua pendaftar dan pendaftar muallaf.

Dalam konteks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, RUU Pentadbiran memasukkan peruntukan membolehkan prosiding pendengaran kes mal dijalankan di mana-mana tempat, selain mahkamah yang ditubuhkan atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan ke-131 juga memberikan pandangan hukum bahawa pendengaran prosiding melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah diharuskan dan tidak bertentangan dengan hukum syarak untuk dilaksanakan.

RUU Pentadbiran memberi kuasa melalui undang-undang kepada Ketua Hakim Syarie mengeluarkan arahan amalan supaya ia mempunyai kuat kuasa perundangan.

Selari amalan di mahkamah sivil

Ini selari amalan di mahkamah sivil, iaitu Ketua Hakim Negara memiliki bidang kuasa mengeluarkan arahan amalan seperti diperuntukkan di bawah seksyen 17B Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Begitu juga Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan apabila RUU Pentadbiran memasukkan peruntukan berkait pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dan kelayakan bagi pelantikan Ketua Pendakwa Syarie dan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie. Ini dapat memastikan urusan hal ehwal pendakwaan terus berjalan secara berkesan walaupun semasa ketiadaan Ketua Pendakwa Syarie.

Pengurusan hal ehwal wakaf turut diperkemas dengan memasukkan secara jelas fungsi dan kuasa jawatankuasa wakaf dalam pelaksanaan wakaf di Wilayah Persekutuan dan memperuntukkan kuasa kepada MAIWP dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat kaedah memperincikan pengurusan hal ehwal wakaf.

Antara langkah terpenting apabila RUU Tatacara Mal membabitkan beberapa pindaan signifikan, sekali gus akan memberi kegembiraan kepada banyak pihak termasuk pengamal undang-undang, hakim dan orang ramai. Ini kerana ia memberi kemudahan dan keringanan dalam proses perundangan termasuk merelevankan mahkamah syariah dengan perkembangan teknologi komunikasi.

RUU Tatacara Mal meminda seksyen 3 untuk memasukkan takrif baharu ‘teknologi komunikasi jarak jauh’ dan seksyen 100 bagi penerimaan keterangan melalui teknologi berkenaan.

Sebelum ini, pendengaran kes dalam talian melalui sidang video dilakukan secara pentadbiran dan perlu persetujuan pihak terbabit dan permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah syariah.

Pindaan juga dibuat pada seksyen 34 Akta 585 untuk memudahkan proses pelantikan peguam syarie tanpa perlu melafazkan wakalah di hadapan mahkamah atau pendaftar.

Ia memberi kesan besar kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan apabila pihak terbabit dan peguam Syarie tidak perlu hadir ke mahkamah.

Perlu diingat, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menerima pendaftaran kes sangat tinggi setiap tahun, iaitu mencecah 1,200 kes bagi setiap dewan, purata keseluruhan dewan bicara sebanyak 14 dewan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Seksyen 119 Akta 585 pula memasukkan peruntukan nyata memberi kuasa kepada mahkamah untuk membenarkan apa-apa prosiding didengar secara tertutup.

Ini kerana dalam keadaan tertentu, ia perlu untuk menjaga kepentingan keadilan, kesejahteraan awam, keselamatan awam atau kesusilaan dan aib pihak terbabit terutama kanak-kanak serta kes mendedahkan keaiban peribadi, selain mengelakkan unsur membawa kepada fitnah.

Secara keseluruhannya, usaha kerajaan memperkasa pentadbiran Islam dan perundangan syariah menerusi RUU Pentadbiran dan RUU Tatacara Mal adalah sangat signifikan dan strategik.

Ia bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada pengamal undang-undang, hakim dan pegawai mahkamah, bahkan masyarakat awam.

Setelah sekian lama menunggu pindaan ini dibawa dan diluluskan di Parlimen, akhirnya kerajaan dengan penuh keazaman dan komitmen melakukannya secara berhikmah.

Ini sedikit sebanyak menunjuk dan membuktikan Islam makin subur dan terus mekar di negara ini.

Penulis adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – Berita Harian

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu Tahan Jenazah, JAWI Diarah Siasat Aduan Tular

Next Post

Jaga Lisan, Baru Hidup Jadi Tenang

Related Posts