World #QuranHour Platform Positif Dekatkan Masyarakat Dengan Al-Quran

GOMBAK – World #QuranHour dilihat sebagai platform yang sangat positif dalam mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.

Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh berkata, sebagai penyiar, pihaknya percaya media mempunyai peranan besar dalam menyebarkan mesej yang baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurutnya, oleh sebab itu Astro sentiasa menyokong penganjuran World #QuranHour dengan menyiarkan program ini secara langsung kepada rakyat Malaysia menerusi saluran Astro Oasis, On Demand serta Astro GO.

“Kerjasama ini sebenarnya telah berlangsung sejak tahun 2016 dan tahun ini menandakan hampir satu dekad Astro bersama-sama menyokong usaha murni ini.

“Melalui platform penyiaran Astro, kami dapat membantu memperluaskan matlamat program ini supaya lebih ramai masyarakat di seluruh negara dapat turut serta walaupun tidak berada di lokasi program.

“Ia juga selari dengan peranan Astro sebagai platform media yang bukan sahaja menyediakan hiburan, tetapi juga kandungan yang memberi inspirasi, ilmu dan nilai positif kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika hadir program World #QuranHour (WQH) 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.

WQH 2026 yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya tahun ini mengangkat Surah al-Muzzammil sebagai surah pilihan dengan tema ‘Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia’.

Ia dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan turut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama UIAM selaku rakan penganjur.

Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama WQH 2026 manakala rakan media yang turut menyokong program itu termasuk Sinar Harian, Sinar Islam, NU Ideaktiv, Media Prima, TV9, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TVAlHijrah, Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), IKIM FM, TV IKIM, Zayan, MYTV Broadcasting dan Denaihati.com.

Tambah Norzeha, dalam dunia yang serba pantas hari ini, ramai yang memikul pelbagai tanggungjawab dan cabaran kehidupan.

“Jadi melalui penghayatan ayat-ayat al-Quran, kita diingatkan tentang nilai seperti kesabaran, keseimbangan dan kekuatan dalaman supaya mampu memikul tanggungjawab hidup dengan lebih tenang.

“Inilah antara sebab mengapa program ini sangat relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat hari ini,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sultan Ibrahim Berkenan Tunai Zakat RM10 Juta Bagi Tahun Ini

Next Post

Konflik Asia Barat: 179 Lagi Rakyat Malaysia Selamat Tiba Dari Doha

Related Posts