
KUALA LUMPUR – Individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama tidak patut dibiarkan bebas untuk terus mengamalkan dan menyebarkan fahaman sedemikian sama ada secara terbuka atau tertutup menggunakan label “Islam” untuk mendapatkan legitimasi.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usaha-usaha pemantauan, pengesanan dan penguatkuasaan berasaskan undang-undang sedia ada ke atas mana-mana individu yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Ia ujar beliau, bagi memastikan kesucian agama Islam terus dipelihara di negeri itu.
“Umat Islam di Selangor amat sayangkan agama Islam dan akan terus mempertahankan kesucian agama ini.
“Majoriti umat Islam di Selangor tidak akan membenarkan mana-mana individu, kumpulan atau institusi yang cuba mencemarkan atau mengelirukan akidah, pegangan, fahaman dan amalan umat islam daripada terus beroperasi di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1 itu, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Menurut Mohammad Fahmi, institusi pentadbiran dan pengurusan agama Islam Selangor seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS); Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor akan terus mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan syiar Islam terus utuh dan dijaga di Selangor.
Dalam masa sama, katanya, orang awam juga digalakkan untuk terus melaporkan kepada JAIS sekiranya terdapat bukti terhadap mana-mana individu yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama di Selangor.
“Suka diingatkan bahawa berdasarkan fatwa tersebut (fatwa negeri Selangor bertarikh 31 Julai 2014), mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah dikira sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.
Sumber: Malaysia Gazette
#islamhidupku