
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Iran akibat ketegangan Iran-Israel dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementeriannya sudahpun menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.
“Saya telah pun arahkan semua rakyat Malaysia keluar dari Iran dan kita sudah uruskan proses pemindahan.
“Tiada kapal terbang boleh terbang keluar dari Tehran, jadi kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.
Pada Rabu lalu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada hari ini, berikutan peningkatan risiko keselamatan susulan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
Mengikut maklumat, katanya, jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.
Sebelum itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kementeriannya setakat ini mengenal pasti tujuh pelajar negara ini masih berada di sana dan jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan kerana mereka pergi atas tajaan sendiri.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata destinasi terdekat yang dikenal pasti ialah Ashgabat, ibu negara Turkmenistan yang letaknya kira-kira 950 kilometer dari Tehran.
“Walaupun jaraknya sekitar 900 kilometer, perjalanan mengambil masa lebih 13 jam kerana mereka perlu melalui banjaran untuk pergi ke ibu negara Turkmenistan.
“Alhamdulillah, kita telah mendapat semua kelulusan daripada pihak berkuasa Turkmenistan termasuk visa (untuk rakyat kita) masuk ke negara berkenaan,” katanya.
Mohamad berkata rakyat Malaysia akan berada di Ashgabat selama dua hari sebelum dibawa keluar ke destinasi seterusnya yang lebih selamat.
“Kerajaan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkmenistan atas kerjasama erat dalam usaha memastikan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku