
KEPALA BATAS: Lebih 50 jemaah terdiri daripada penduduk Kepala Batas di Masjid Al Jamiul Badawi, di sini, hari ini menunaikan solat jenazah ghaib untuk Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia, semalam.
Solat yang diimamkan, Imam Kanan masjid itu, Dr Hambali Zulkifli menitipkan doa atas pemergian negarawan terulung berkenaan.
Hambali berkata, dia bersama jemaah lain yang tidak berkesempatan menziarahi jenazah Tun Abdullah di Kuala Lumpur mengadakan solat itu sebagai tanda memperingati jasa yang ditaburkan Allahyarham khususnya buat penduduk Kepala Batas.
“Alhamdulillah, walaupun jenazah Tun Pak Lah berada di Masjid Negara, kami (yang tidak berkesempatan ke sana) tetap ingat pada beliau dengan mengadakan solat jenazah ghaib.
“Semoga Allah mengurniakan ganjaran syurga buat beliau yang banyak menyumbang jasa untuk negara termasuk warga Kepala Batas,” katanya.
Sementara itu, setiausaha masjid berkenaan, Mohd Hilmi Basaruddin, berkata pesanan Allahyarham Tun Abdullah yang menasihati anak muda kariah itu untuk terus mengimarahkan masjid akan terus dipegang.
“Tentu sekali generasi muda berasa amat kehilangan yang besar bukan sahaja pada negara kita, malah kami di sini.
“Pak Lah sentiasa berpesan kepada kami (jawatankuasa masjid) supaya jangan tinggalkan masjid, penuhilah masjid dengan majlis ilmu dan banyak laksanakan program untuk menarik minat anak muda,” katanya.
Tun Abdullah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut sejak tahun 1978 hingga 2013.
Sepanjang khidmatnya, beliau dikatakan telah mengubah wajah Kepala Batas dari ‘pekan koboi’ kini menjadi bandar baharu pesat membangun, selain masih mengekalkan kampung tradisional.
Terdahulu Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam.
Jenazah negarawan itu selamat dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, selepas solat Zohor, sebentar tadi. Foto Buletin Tv3
Sumber: Buletin Tv3
#islamhidupku