
Dalam Surah Yasin, Allah ingatkan kepada kita tentang apa yang berlaku setelah kita meninggal dunia nanti iaitu kita akan dihidupkan semula dan Allah akan merekodkan segala apa telah kita lakukan sewaktu kita hidup dahulu. Firman Allah:
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan.” (Surah Yasin: 12)
Menurut al-Imam Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan kesan perbuatan kita itu ialah segala apa yang kita lakukan serta kesannya. Jika baik, baiklah balasannya dan jika kita meninggalkan kesan perbuatan yang buruk, maka buruklah balasannya. Kata beliau:
وآثارهم التى أثروها – أى تركوها – من بعدهم ، فنجزيهم على ذلك – أيضا – ، إن خيرا فخيرا ، وإن شرا فشر
“Dan yang dimaksudkan dengan kesan-kesannya (perbuatan mereka itu ialah) kesan yang mereka tinggalkan setelah dari (meninggal dunia) itu lalu Allah akan memberi mereka balasan. Sekiranya baik, maka mereka mendapat balasan yang baik, sekiranya mereka meninggalkan kesan yang jahat, maka balasan yang jahat akan diberi.”
Oleh itu, ayat ini memberikan kita teguran yang baik buat diri kita. Bukan sekadar kita seharunya memikirkan kesan dari setiap perlakuan kita, malah apakah kesan kebaikan yang telah kita tinggalkan agar menjadi asset buat diri kita untuk bertemu Allah kelak?
Semoga Allah membimbing kita.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi