Malaysia mengumumkan penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia sebagai usaha memperkukuh diplomasi halal antara kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata majlis itu akan dipengerusikan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, manakala Malaysia akan berperanan sebagai setiausaha agung majlis itu, dengan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia telah menandatangani memorandum kerjasama pada 2023, manakala rundingan dua hala bagi memudah cara pensijilan dan perdagangan halal antara kedua-dua negara selesai pada Jun tahun ini. Kerjasama lebih erat itu, katanya, dapat mengenal pasti kaedah praktikal untuk memudah cara perdagangan, mengurangkan pertindihan serta menghubungkan syarikat dengan rantaian bekalan serantau.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia mempunyai pengalaman dalam bidang piawaian, tadbir urus, kewangan Islam dan pemudahcaraan perdagangan, manakala Indonesia mempunyai kelebihan dari segi skala, kapasiti pengeluaran dan keusahawanan.
“Matlamat diplomasi halal adalah untuk kedua-dua pihak memanfaatkan kepercayaan yang telah dibina bagi membuka pasaran, memudah cara pelaburan dan mewujudkan peluang bersama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kerjasama itu pada akhirnya perlu diterjemahkan kepada pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih mudah serta lebih banyak syarikat menjalankan perdagangan merentas sempadan. Beliau berkata pengeluar kecil perlu mempunyai laluan yang lebih jelas untuk mendapatkan pembeli di luar negara, manakala syarikat yang telah mendapat pensijilan halal perlu diberikan sokongan yang diperlukan untuk memenuhi pesanan eksport pertama mereka.
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
MAJLIS HALAL MALAYSIA-INDONESIA DITUBUH, MESYUARAT PERTAMA OKTOBER – AHMAD ZAHID