
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan fidyah wang saku pelajar berjumlah keseluruhan sebanyak RM4,683,900.00 untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan melalui kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM).
Daripada jumlah RM4,683,900.00, sebanyak RM1,833,900 diagihkan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, peruntukan RM1,500,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, RM1,050,000.00 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RM300,000.00 diagihkan kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Peruntukan wang fidyah ini melibatkan agihan kepada 15,613 orang pelajar yang layak iaitu pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah rendah agama (SRA) dan sekolah kelas Al-Quran & Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negeri Selangor yang memenuhi syarat penerima agihan fidyah wang saku pelajar.
Pelaksanaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar dibuat secara berkumpulan kepada golongan sasar melibatkan kolaborasi dan kerjasama dari RSAFM dalam membantu MAIS mengenal pasti dan mengagihkan kepada penerima yang layak bagi memastikan sumbangan fidyah orang ramai dapat dimanfaatkan secara optimum demi
kepentingan golongan yang memerlukan.
Peruntukan agihan fidyah wang saku pelajar melibatkan kerjasama RSAFM iaitu Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam), Universiti Teknologi Mara (UiTM Puncak Alam), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Politech MARA Bangi, Universiti Selangor (UNISEL), Management and Science University (MSU), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, JAIS dan YIDE mengikut bilangan pelajar yang layak.
Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar merupakan salah satu daripada inisiatif untuk membantu pelajar dalam meneruskan kelangsungan kehidupan semasa belajar.
Setiap pelajar yang layak akan menerima RM300 setiap seorang sekali sahaja yang mana, program ini salah satu dari agihan fidyah seperti bantuan makanan asas dan wang tunai.
Pada tahun 2024, MAIS telah berjaya mengagihkan fidyah wang saku pelajar berjumlah RM4.84 juta melibatkan agihan kepada 16,139 orang pelajar di seluruh negeri Selangor yang memenuhi syarat penerima agihan wang saku pelajar.
Sumber: Malaysia Gazette
#islamhidupku