
KUALA LUMPUR – Kutipan zakat melalui saluran ejen Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2024 mencatat peningkatan sebanyak 17.4 peratus, membabitkan jumlah keseluruhan RM74.34 juta berbanding RM63.28 juta tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pencapaian tersebut membuktikan tahap kepercayaan tinggi masyarakat terhadap ejen-ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ejen atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Ini menunjukkan bahawa kehadiran PPZ-MAIWP melalui saluran ejen semakin diyakini oleh para pembayar zakat.
“Saya yakin angka ini akan terus meningkat, seiring dengan penambahbaikan sistem dan kemudahan yang ditawarkan melalui platform masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini hari ini, sebagai penghargaan kepada peranan penting ejen dalam membantu memperkukuhkan prestasi kutipan zakat.
Sebanyak 16 syarikat ejen yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun turut menerima anugerah khas pada majlis itu, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperluas akses perkhidmatan zakat kepada masyarakat.
Majlis turut menghargai usaha para ejen yang aktif menyebarkan kesedaran dan kefahaman mengenai kewajipan menunaikan zakat, sekali gus menyokong misi sosial dan kebajikan PPZ-MAIWP.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Sementara itu, PPZ-MAIWP dalam kenyataan menyeru orang ramai agar menunaikan zakat menerusi ejen sah yang dilantik institusi itu bagi mengelakkan sebarang penipuan atau maklumat palsu berkaitan kutipan zakat.
Maklumat lanjut mengenai ejen sah boleh disemak menerusi portal rasmi www.zakat.com.my atau melalui talian Zakat Careline di 1-300-88-5757.
Sumber: MalaysiaGazette
#islamhidupku