
KUALA LUMPUR – Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci Mekah akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital King Abdullah semalam.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah Malaysia bagi musim haji 1446H/2025M kini mencecah 10 orang.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan rasmi.
Allahyarham Abdul Malek Sudin, 62, berasal dari Bedong, Kedah meninggal dunia pada pukul 4.31 petang.
Allahyarham merupakan jemaah haji di bawah KT068 dan menginap di Maktab 90A, bangunan Rehab Al-Janadriyah, bilik 228A.
“Waris beliau iaitu isterinya, Salina Mat Salim yang turut berada di Tanah Suci telah dimaklumkan dan urusan jenazah sedang diuruskan seperti biasa oleh pihak Tabung Haji (TH).
“Sama-sama kita doakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada, anbia dan solehin.
“Almarhum ini juga sudah selesai menjalani ibadah wukuf di Arafah pada Khamis lalu,” katanya.
Sumber: MalaysiaGazette
#islamhidupku