JOHOR BAHRU – Indonesia digesa menghentikan sikap tidak peduli terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia termasuk mengeluarkan kenyataan kurang bijak atau tidak membina.
Ketua Pengimbang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Andrew Chen Kah Eng meminta jurucakap Indonesia mengambil tanggungjawab terhadap pencemaran jerebu yang berpunca daripada aktiviti manusia sehingga menjejaskan negara jiran, termasuk Malaysia. Beliau menegaskan, Indonesia perlu tampil memohon maaf terhadap negara-negara ASEAN yang terkesan.
Menurutnya, tindakan membiarkan jerebu yang mengandungi zarah halus PM2.5 mencemari udara negara lain tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila keadaan itu mengancam kesihatan orang ramai.
“Rakyat Malaysia sedang menderita akibat pencemaran ini, namun pegawai anda seolah-olah mempermainkan kesihatan kami. Sikap begini tidak boleh diterima. Kesihatan dan nyawa rakyat bukan bahan untuk dijadikan gurauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Indonesia dilaporkan meminta Malaysia dan Singapura memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan ketika ini didakwa berpunca daripada fenomena alam, bukannya kesilapan manusia.
Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan memahami kebimbangan kedua-dua negara berhubung pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah republik itu.
Malah, Syahganda turut mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran asap, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jirannya melalui kawasan hutan yang luas.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://malaysiagazette.com/2026/10/12/jerebu-rentas-sempadan-indonesia-perlu-bertanggungjawab-tampil-mohon-maaf/