‘Jangan jadikan media sosial pentas menghina, guna dengan adab’, titah Agong

'Jangan jadikan media sosial pentas menghina, guna dengan adab', titah Agong
SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan bahawa setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.

Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.

“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang. Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.

“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM, turut berangkat ke istiadat konvokesyen itu.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat disaran agar tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat menghina atau memalukan seseorang.

Titah Seri Paduka Baginda, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.

“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara, dan tidak memandang rendah antara agama dengan bangsa kerana sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara.

“Namun, dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Seri Paduka Baginda.
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://www.sinarharian.com.my/article/800802/berita/nasional/jangan-jadikan-media-sosial-pentas-menghina-guna-dengan-adab-titah-agong
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Isu Hijab di Azerbaijan: Negara Majoriti Muslim yang ditadbir Sistem Sekular

Next Post

Jangan jadikan kampus gelanggang hiburan melampau – JHEAINS

Related Posts