Israel Bedil Kafe, Sekolah & Pusat Bantuan Di Gaza, 95 Terbunuh

GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 95 penduduk Palestin terbunuh semalam, termasuk 39 mangsa yang terkorban dalam serangan ke atas sebuah kawasan rehat di tepi pantai.

Serangan terbaharu Israel itu dilancarkan ketika gesaan antarabangsa bagi gencatan senjata semakin meningkat di wilayah yang dilanda peperangan itu.

Penyelesaian pantas perang selama 12 hari antara Israel dan Iran mencetuskan semula harapan untuk menghentikan pertempuran di Gaza, yang kini memasuki lebih 20 bulan konflik dan mewujudkan krisis kemanusiaan amat kritikal kepada penduduknya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini menggesa Israel menyegerakan ‘perjanjian di Gaza’ manakala negara pengantara utama, Qatar, berkata momentum tercetus hasil gencatan senjata dengan Iran minggu lalu.

Namun di lapangan, Israel terus melancarkan serangan di seluruh wilayah Palestin itu dalam usaha memusnahkan kumpulan pejuang Hamas.

Kementerian Kesihatan Gaza turut mengesahkan sekurang-kurangnya 95 mangsa terbunuh pada Isnin akibat serangan Israel, termasuk 39 di kafe tepi laut, Al-Baqa, di utara Bandar Gaza.

Saksi, Ahmed Al-Nayrab, 26, memberitahu AFP bahawa tempat itu sentiasa dipenuhi orang ramai kerana menyediakan minuman, tempat duduk keluarga dan capaian internet.

“Letupan besar yang menggegarkan kawasan itu. Saya lihat cebisan tubuh terbang ke udara, dan mayat yang hancur dan rentung… pemandangan itu benar-benar menggerunkan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Bilal Awkal, 35, berkata: “Darah membasahi tanah dan jeritan kedengaran di mana-mana. Wanita dan kanak-kanak bertempiaran lari, seperti dalam adegan filem mengenai kiamat”.

Tentera Israel, ketika diminta mengulas oleh AFP, memaklumkan bahawa pihaknya sedang ‘meneliti’ laporan berkenaan.

Pejabat media kerajaan Hamas memaklumkan jurufoto, Ismail Abu Hatab, turut terbunuh dalam serangan itu.

Sekatan Israel terhadap media di Gaza serta kesukaran untuk memasuki sesetengah kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas angka korban dan butiran dikemukakan penyelamat serta pihak berkuasa tempatan.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, memberitahu AFP bahawa 27 lagi mangsa terbunuh dalam serangan udara dan tembakan Israel di seluruh Gaza, termasuk 11 orang yang maut berhampiran pusat agihan bantuan di bahagian tengah dan selatan wilayah itu.

Saksi dan pihak berkuasa tempatan melaporkan kes berulang pembunuhan rakyat Palestin berhampiran pusat agihan bantuan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas Israel mula membenarkan kemasukan bantuan secara perlahan sejak akhir Mei.

Samir Abu Jarbou, 28, memberitahu AFP melalui telefon bahawa beliau pergi bersama ahli keluarga untuk mengambil makanan di kawasan Gaza tengah sekitar tengah malam.

“Tiba-tiba tentera (Israel) melepaskan tembakan, dan dron mula menembak. Kami melarikan diri dan tidak sempat ambil apa-apa,” katanya.

Di bandar Khan Younis di selatan Gaza, mangsa yang terkorban dan cedera dikejarkan ke hospital menggunakan treler selepas orang awam yang mencari bantuan mendakwa mereka disasarkan tembakan oleh tentera Israel di Rafah.

Saksi, Aboud al-Adwi, memberitahu AFP tembakan tentera Israel itu sengaja ditujukan kepada orang ramai yang sedang beredar.

Gambar yang dirakam dari Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza, menunjukkan kesan jejak roket di langit. – Foto AFP
“Tiada sesiapa dalam kalangan kami yang dikehendaki atau mengancam keselamatan. Kami semua orang awam, hanya cuba mendapatkan makanan untuk anak-anak,” tambahnya.

Rakaman AFP dari Hospital Nasser menunjukkan mangsa yang cedera sedang dirawat di atas lantai yang berlumuran darah.

Tentera Israel tidak memberikan sebarang komen segera apabila diminta mengulas oleh AFP berhubung laporan pertahanan awam itu. – AFP

Sumber: Buletin Tv3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sultan Nazrin Seru Umat Islam Hayati Hijrah Nabi & Prinsip Pemerintahan Islam

Next Post

Adakah Puasa 10 Muharam Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya?

Related Posts