
GAZA CITY: Tentera Israel mendakwa telah melancarkan lima gelombang serangan ke atas Gaza City dalam tempoh seminggu dengan 500 sasaran dibedil dalam usaha menguasai bandar terbesar di semenanjung Gaza itu.
Dalam kenyataan di platform X, pihak tentera berkata, serangan tertumpu kepada kedudukan pemantau, penembak tepat, bangunan yang didakwa mempunyai terowong dan senjata serta infrastruktur Hamas.
Israel turut mendakwa telah mengambil langkah sebelum serangan bagi mengurangkan korban awam, meskipun laporan di lapangan menyebut ramai penduduk terbunuh dan cedera.
Sejak serangan terbaru dilancarkan, tentera Israel telah memusnahkan beberapa bangunan tinggi di utara Gaza City, dengan alasan ia dijadikan infrastruktur ketenteraan Hamas walaupun dakwaan itu sering tidak disertakan bukti kukuh.
Saksi tempatan pula melaporkan sebahagian besar serangan dijalankan dengan amaran yang sangat singkat atau hampir tiada langsung, menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan diri. AGENSI
Sumber: Buletin Tv3