
GAZA, 21 ZULKAEDAH — Rejim haram Israel semakin mengganas apabila terus menyerang beberapa hospital utama di wilayah Gaza, termasuk Hospital Indonesia yang kini dilaporkan terpaksa menghentikan operasi akibat kepungan dan serangan berterusan.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, pertempuran sengit yang berlaku di sekitar Hospital Indonesia pada Ahad menyebabkan fasiliti di hospital tidak lagi mampu beroperasi, dengan laporan menyatakan tentera Israel menggunakan dron untuk menyerang kawasan hospital.
Dalam satu kenyataan kepada Al Jazeera, Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya berkata, situasi di hospital-hospital Gaza semakin meruncing dan menyeru dunia supaya bertindak segera.
“Pasukan perubatan sangat tertekan. Kami kekurangan petugas kesihatan dan dalam masa yang sama jumlah pesakit yang memerlukan rawatan semakin meningkat,” katanya menerusi panggilan telefon.
Dr Abu Salmiya turut memberi amaran bahawa ribuan pesakit dan mangsa cedera berisiko kehilangan nyawa sekiranya bantuan perubatan tidak disalurkan segera.
Beliau turut menggesa sumbangan darah diberikan secara segera.
Kementerian Kesihatan Gaza pula mengesahkan bahawa tentera Israel telah mengepung hospital berkenaan di Beit Lahiya, menyebabkan suasana panik dan kekeliruan dalam kalangan pesakit serta kakitangan.
Lebih agresif, pihak Israel telah menghalang kemasukan pesakit dan staf ke hospital tersebut, sehingga memaksa hospital menghentikan perkhidmatannya.
Serangan terbaharu ini dilihat sebagai satu lagi tindakan yang melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan di Gaza, yang telah pun berada di ambang kejatuhan akibat sekatan, kekurangan bekalan, dan serangan berterusan sejak konflik meletus.
Sumber: Tv Pertiwi
#islamhidupku