
RIYADH, 13 Jun – Suruhanjaya Warisan Arab Saudi pada Selasa mengumumkan penemuan 1,774 artifak arkeologi di wilayah Al-Mahd, Madinah, sekali gus mendedahkan bukti kewujudan tamadun silam yang menjangkau sejak era awal perkembangan negara Islam.
Penemuan itu diperoleh selepas selesainya musim kedua kerja-kerja tinjauan arkeologi yang dijalankan di tiga kawasan utama iaitu Al-Suwayriqiyah, Al-Muwayhiyah dan Hadhah.
Suruhanjaya berkenaan mengenal pasti sebanyak 156 tapak arkeologi baharu yang mengandungi pelbagai tinggalan sejarah.
Antaranya ialah 461 inskripsi Islam, 34 inskripsi Thamud, 1,259 panel seni batu, 11 struktur batu, tiga istana bersejarah, dua laluan kafilah dan empat telaga lama.
Antara penemuan paling penting ialah ukiran batu yang memaparkan nama Saidina Umar Al-Khattab, selain puisi Arab yang diukir pada permukaan batu, sekali gus meningkatkan nilai sejarah dan kebudayaan kawasan tersebut.
Suruhanjaya Warisan menegaskan komitmennya untuk meneruskan program tinjauan serta pendokumentasian arkeologi di seluruh negara sebagai menyokong matlamat Wawasan Arab Saudi 2030 dalam usaha memelihara warisan kebudayaan negara itu.
Minggu lalu, suruhanjaya tersebut turut menamatkan musim pertama misi saintifik bersama Universiti Exeter di tapak Miqat Al-Juhfah, yang menemukan lebih 1,700 artifak serta mengesahkan kepentingan lokasi berkenaan sebagai antara laluan utama jemaah haji dari Mesir pada zaman awal Islam.
Penemuan di Al-Juhfah merangkumi pelbagai serpihan barangan kegunaan harian, enam relau pembuatan tembikar, satu saluran air yang dipercayai digunakan oleh jemaah haji dan pengembara, serta 13 batu nisan dari era Umaiyah dan Abbasiyah.
Sebahagian artifak itu dipercayai berasal dari wilayah Syam, Mesir dan Habsyah (Ethiopia), sekali gus mencerminkan kepelbagaian asal-usul jemaah yang melalui kawasan miqat tersebut.
Terletak kira-kira 187 kilometer di barat laut Makkah, Al-Juhfah telah berfungsi sebagai lokasi miqat sejak awal zaman Islam dan dikaitkan dengan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.
Tapak itu dipercayai berkembang pesat sekitar abad kedua Hijrah, lengkap dengan kemudahan sumber air serta deretan kedai yang menyediakan keperluan kepada jemaah haji dan para musafir. – Arab News
Sumber: Sinar Harian