
SUNGAI PETANI: Sebuah asrama di Maahad Tahfiz An Nur di Merbok, dekat sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Difahamkan, asrama itu menempatkan pelajar perempuan, namun mereka dapat menyelamatkan diri ketika kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 4.19 pagi.
Sepasukan 12 anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohd Rahimi Abu Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi turut dibantu sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bedong.
“Kebakaran menyebabkan bangunan itu musnah 80 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan berada dalam maahad tahfiz berkenaan,” katanya.
Ismail berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.49 pagi.
Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.
Pelajar tinggal sehelai sepinggang
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Firdaus Firabib yang memuat naik status di Facebook (FB) berkata, semua pelajar perempuan sempat menyelamatkan diri dan kini berlindung dalam masjid dalam keadaan sehelai sepinggang.- Berita Harian
#islamhidupku