
KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca kering ketika ini yang berupaya meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, keadaan ini juga berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Ini kerana keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Seri Paduka Baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Dalam masa sama, Sultan Ibrahim menitahkan pihak berkuasa untuk terus mempertingkatkan rondaan jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.
Sumber: Astro Awani