Melaka Anjur 4 Hari Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Bermula 22 Feb Ini

MELAKA: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Melaka akan diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim di sini selama empat hari bermula 22 Feb ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata 18 peserta peringkat akhir tilawah al-Quran akan bertanding bagi kategori qari dan qariah.

Beliau berkata bagi hafazan al-Quran pula, 51 peserta akan bertanding meliputi kategori satu hingga 10 juzuk, satu hingga 20 juzuk dan satu hingga 30 juzuk.

“Penganjuran MTHQ bertujuan melahirkan qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama Melaka di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Perlis pada Mei depan, seterusnya nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita anggarkan 5,000 penonton akan hadir menyaksikan MTHQ di auditorium berkenaan dan siaran langsung juga akan diadakan menerusi saluran media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran di Konti Melaka FM Jabatan Penyiaran Melaka di sini hari ini.

Rahmad berkata bagi tilawah al-Quran, johan hingga tempat kelima bagi kategori qari dan qariah akan menerima hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM44,000 selain pakej umrah, pakej kembara ilmiah serantau Muslim, plak iringan dan sijil penyertaan.

Bagi hafazan al-Quran pula, beliau berkata 18 pemenang hafiz dan hafizah akan dipilih untuk tiga kategori yang dipertandingkan dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM72,000, selain pakej umrah, pakej kembara ilmiah serantau Muslim, plak iringan dan sijil penyertaan.

“Majlis hafazan al-Quran akan berlangsung pada sebelah pagi hingga petang manakala majlis tilawah al-Quran diadakan pada sebelah malam. Majlis penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam pada 25 Feb,” katanya. — AlHijrah Online

#islamhidupku

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Memberi Lebih Baik Dari Yang Menerima

Next Post

Kesederhanaan Itu Kunci Kebahagiaan

Related Posts