
KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara diseru melaksanakan solat hajat dan qunut nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, umat Islam di negara ini diseru bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT supaya melindungi penduduk Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan.
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan simpati terhadap penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersolidariti, berdoa dan munajat khususnya dengan mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menyeru imam-imam masjid dan surau JAKIM serta JAWI untuk memimpin qunut nazilah dalam solat berjemaah, terutama pada solat subuh, maghrib dan isyak serta memperbanyakkan doa-doa khusus untuk keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi Al-Quds.
“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” katanya.
Israel pada Ahad lalu meningkatan tindakan ketenteraan ke atas penduduk Palestin dengan melancarkan pencerobohan darat besar-besaran di beberapa kawasan di Carikan Gaza, menandakan fasa baharu dalam konflik dengan Hamas.
Matlamat operasi “Gideon’s Chariots” itu termasuk menguasai kawasan-kawasan penting di Gaza, menggesa sebahagian besar daripada sekitar dua juta penduduk Gaza berpindah lebih jauh ke selatan, serta menyambung semula pengagihan bantuan kemanusiaan di bawah kawalan ketat Israel, kata pegawai Israel.
Sumber: Malaysia Gazette
#islamhidupku