
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan tindakan menghalau seorang individu daripada berada di dalam surau selepas menunaikan solat Subuh sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan adab pengurusan rumah ibadah umat Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, insiden berkenaan mencerminkan kegagalan memahami peranan sebenar masjid dan surau sebagai institusi yang menjunjung nilai kasih sayang, toleransi dan hikmah, selaras dengan prinsip Malaysia Madani.
“JAKIM memandang serius kejadian ini kerana ia melibatkan aspek adab dan tatakelola yang amat penting dalam pentadbiran rumah Allah.
“Masjid dan surau bukan tempat untuk mengusir, sebaliknya ruang untuk menyantuni dan memupuk perpaduan dalam kalangan umat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas insiden tular di media sosial melibatkan tindakan tidak beradab oleh pihak tertentu terhadap seorang jemaah yang berada di dalam surau selepas solat Subuh.
Tambah beliau, masjid dan surau seharusnya dilihat sebagai institusi Rahmah yang bukan sahaja menjadi tempat untuk menunaikan ibadah, tetapi juga pusat pendidikan rohani, penyatuan masyarakat dan pembangunan komuniti.
Dalam pada itu, Dr. Sirajuddin menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menegur tindakan berkenaan serta menzahirkan komitmen untuk mempergiatkan program pendidikan dan advokasi kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan institusi masjid.
“Pendekatan Masjid Rahmah yang dibawa oleh Jakim menekankan penghayatan akhlak Islamiah, khususnya dalam menyantuni jemaah dengan belas ihsan dan hikmah.
“Rumah Allah seharusnya menjadi tempat yang tenang, damai dan menginsafkan, bukannya tempat yang membuat orang rasa dihakimi atau disisihkan,” ujarnya.
Jakim turut mengingatkan bahawa pendekatan keras dan tidak beradab bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi Islam, malah bertentangan dengan ajaran agama yang menitikberatkan rahmah dan kesantunan dalam bermuamalah.
“Jakim akan terus memperkukuh libat urus bersama pengurusan masjid, institusi agama negeri dan masyarakat awam bagi memastikan nilai keterangkuman dan adab tinggi terus disuburkan dalam pentadbiran rumah ibadah di negara ini,” katanya.
Sumber: Malaysia Gazette
#islamhidupku