
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam) mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan perjuangan melalui parti Islam dengan ganjaran syurga. Hikam menegaskan bahawa persoalan keselamatan seseorang di akhirat merupakan perkara akidah dan alam ghaib yang ketentuannya adalah hak mutlak Allah SWT, bukan sesuatu yang boleh dikaitkan secara pasti dengan keanggotaan, sokongan atau perjuangan melalui mana-mana parti politik. Keanggotaan atau sokongan kepada sesebuah parti tidak dengan sendirinya menjadi jaminan seseorang memperoleh syurga, dan perbezaan pilihan politik juga tidak menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Rencana ini merujuk kepada Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan yang diwartakan pada 2001 serta Tinta Mufti Bil. 128/2026, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, bertarikh 5 September 2026, yang bertajuk “Syurga Bukan Milik Eksklusif Mana-Mana Kumpulan.” Kedua-dua rujukan ini menegaskan bahawa syurga bukan hak eksklusif mana-mana kumpulan, sebaliknya ganjaran Allah berkait dengan iman, tauhid dan amal soleh seseorang. Persaingan politik sewajarnya menjawab persoalan siapa yang lebih amanah, adil, berintegriti, berkeupayaan dan mampu membawa maslahat kepada rakyat, bukannya siapa yang akan masuk syurga atau neraka kerana pilihan politiknya.
Sehubungan itu, Hikam menyeru semua pemimpin dan parti politik supaya mengelakkan penggunaan syurga dan neraka sebagai retorik untuk mendapatkan sokongan kepartian, tidak mengaitkan keselamatan akhirat seseorang dengan keanggotaan atau sokongan kepada mana-mana parti, memelihara adab al-ikhtilaf dalam mengurus perbezaan politik, serta mengutamakan hujah, fakta, integriti, dasar dan prestasi dalam mendapatkan kepercayaan rakyat. Politik yang benar-benar dipandu oleh Islam seharusnya menjadikan manusia lebih beradab, masyarakat lebih bersatu dan negara lebih sejahtera. Politik adalah medan amanah dan ijtihad manusia, manakala syurga dan neraka adalah ketentuan serta penghakiman terakhir milik Allah SWT.
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/09/syurga-bukan-milik-mana-mana-parti-politik/
.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿:
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/09/syurga-bukan-milik-mana-mana-parti-politik/